Tuesday, June 22, 2010

Israel terus rampas tanah Arab

BAITULMAQDIS: Israel berhasrat meneruskan pelaksanaan sebuah projek perumahan lengkap dengan taman dan kompleks awam di kawasan yang kini menempatkan 20 rumah rakyat Palestin di timur Baitulmaqdis.

Pemimpin Palestin terbabit mengecam projek berkenaan yang digelar Israel sebagai ‘King’s Garden’, sebagai satu usaha negara Zionis itu untuk memperluaskan kawasan didudukinya, walaupun ada bantahan pihak antarabangsa supaya ia menghentikan kegiatan berkenaan.

Jawatankuasa perancangan majlis perbandaran Baitulmaqdis mengadakan mesyuarat bagi membincang cadangan bagi mengubah wajah kawasan terbabit semalam, sehari selepas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu akur dengan tekanan antarabangsa agar Israel meredakan sekatan di Gaza berikutan serangan maut ke atas konvoi kapal bantuan kemanusiaan ke Gaza 31 Mei lalu.

Jurucakap bandar raya, Stephen Miller, berkata jawatankuasa itu dijangka meluluskan kajian semula pembahagian zon bagi membolehkan pembinaan 1,000 rumah dilaksanakan, meliputi 22 hektar di sebuah kawasan perumahan di timur Baitulmaqdis.

Dalam pelan perancangan itu, kira-kira 20 rumah rakyat Palestin yang dibina tanpa permit akan dirobohkan, manakala 60 rumah lagi yang dibina secara haram diberikan lesen.

Namun, bagi rakyat Palestin kelulusan permit bangunan adalah sesuatu yang sukar diperoleh dari Israel.

Pemimpin Palestin menyifatkan projek itu sebagai satu lagi cubaan Israel untuk memperkuatkan kawalan di seluruh Baitulmaqdis, dengan sektornya di sebelah timur ditawan dalam peperangan 1967 dan dijadikan sebahagian daripada kawasannya, langkah yang tidak diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

“Langkah ini adalah penjajahan oleh pihak perbandaran,” tegas Gabenor Baitulmaqdis yang dilantik oleh Pihak Berkuasa Palestin, Adnan al-Husseini.

“Mereka tidak boleh mendakwa yang mereka akan membina taman perumahan, tetapi pada masa sama menafikan orang lain terus menetap di situ.”

Mac lalu, Israel menimbulkan kemarahan Amerika Syarikat apabila ia mengumumkan ketika lawatan Naib Presiden, Joe Biden bahawa ia akan membina 1,600 rumah bagi penduduk Yahudi di kawasan yang didudukinya di Tebing Barat yang dianggapnya sebagai sebahagian Baitulmaqdis.

Miller mendakwa, projek ‘King’s Garden’ itu bertujuan ‘mempertingkatkan mutu kehidupan’ di Silwan dan sebuah taman dan kompleks awam akan dibina di kawasan berkenaan, yang boleh digunakan secara bersama oleh Arab dan Yahudi. – Reuters

Berita Harian:22 Jun 2010

1 comment:

E.d.Y said...

israel laknatullah..benci sama ko israel