expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Saturday, June 12, 2010

Pekerja mahir Malaysia di luar negara disaran pulang taburkan bakti

SEWAKTU negara menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja berkemahiran tinggi, ada lebih 700,000 rakyat Malaysia yang ditakrifkan dalam kategori mempunyai kemahiran, masih berkerja di luar negara. Walaupun setakat ini tidak ada maklumat terperinci mengenai profil, jenis pekerjaan dan kepakaran mereka, tetapi berpandukan maklumat, kita percaya mereka tergolong dalam kumpulan profesional.

Sebahagian besar mereka mempunyai pendapatan yang agak mewah yang menjadikan sukar untuk mereka untuk pulang ke tanah air tanpa alasan yang benar-benar kukuh. Jika berjaya menarik mereka kembali ke tanah air, kita yakin mereka akan memberi sumbangan yang besar kepada pembangunan negara. Sumbangan kemahiran mereka itu akan berupaya membantu melonjakkan daya saing negara, lebih-lebih lagi dalam usaha
kerajaan mahu menjadikan Malaysia sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi pada 2020. Sewajarnya kerajaan menjalankan usaha untuk menarik mereka supaya menyumbang bakti di negara sendiri. Setakat ini, usaha kerajaan terutama melalui Kementerian Sumber Manusia menerusi ‘Program Menggalakkan Warga Negara Malaysia yang Bekerja di Luar Negara Pulang ke Malaysia’ nampaknya kurang berjaya meskipun pelbagai insentif ditawarkan. Ini termasuk pasangan dan anak yang bukan warga negara diberi status penduduk tetap selepas enam bulan berada di negara ini, berkuat kuasa sejak 1 Januari 2001 lagi. Selepas melaksanakannya selama enam bulan, kerajaan memutuskan untuk meminda beberapa syarat bagi memastikan kualiti kepakaran yang diluluskan pulang ke Malaysia adalah selaras dengan keperluan negara dalam bidang kepakaran yang dikenal pasti.

Usaha terbaru kerajaan ialah menubuhkan Talent Corporation seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) kelmarin, yang akan menerajui inisiatif menarik rakyat Malaysia yang berkemahiran tinggi untuk menyumbang kepada keperluan tenaga kerja mahir negara.
Kita yakin fungsi Talent Corporation berbeza dengan program anjuran Kementerian Sumber Manusia sebelum ini bagi menggalakkan warga negara yang bekerja di luar negara pulang ke Malaysia yang menjurus kepada tenaga pakar dalam pelbagai bidang. Yang terbaru sekarang untuk diusahakan oleh Talent Corporation ialah bagi pekerja berkemahiran tinggi yang tidak semestinya pakar seperti doktor atau jurutera. Mereka ini mungkin mahir dalam pelbagai bidang kewangan, elektrikal, alam sekitar dan banyak lagi seperti jururawat.
Kita percaya keperluan sumber tenaga mahir mereka itu boleh membantu menggerakkan daya saing negara dalam pelbagai sektor yang diperlukan bagi melonjak kedudukan negara dalam saingan antarabangsa. Rakyat di luar negara itu tidak perlulah terlalu mengharapkan pelbagai insentif kerajaan untuk menarik mereka kembali, dan inilah masanya untuk membalas budi atau berbudi kepada negara sendiri. Kemajuan negara sendiri akan lebih penting meskipun ganjaran bekerja di luar negara mungkin lebih tinggi jika diukur dari segi wang ringgit.

Berita Harian 12 Jun 2010

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi singgah dan meninggalkan komen di blog KM7. Sila tinggalkan link blog anda untuk tukar link bloglist. Terima kasih, sila datang lagi.