expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Thursday, February 25, 2010

Transformasi pendidikan lahir pelajar berbakat, kebijaksanaan akademik

TRANSFORMASI pendidikan seharusnya berterusan supaya sistem pendidikan negara sentiasa relevan dengan keperluan semasa. Kerajaan ada ketangkasan untuk melakukan transformasi kurikulum itu yang kini semakin fokus kepada murid. Kurikulum itu menerap dan menyuburkan budaya berfikir kreatif selain inovatif dalam proses pengajaran serta pembelajaran yang lebih ringkas tetapi mapan. Sambil menyatakan Kementerian Pelajaran akan melaksanakan transformasi kurikulum sekolah yang menjurus kepada aspek penerokaan ilmu secara mendalam melalui pembelajaran yang lebih menyeronokkan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mahu dominasi guru dalam bilik darjah dikongsi dengan mewujudkan lebih banyak sesi interaksi antara murid, guru dan rakan sekelas. Fokus kurikulum itu bukan lagi terlalu menekankan kepada keputusan peperiksaan kerana orientasi itu akan membantutkan bakat murid. Sekolah mesti dijadikan inkubator atau kilang yang mengeluarkan murid berbakat termasuk memiliki kreativiti dan skil yang dipupuk melalui kurikulum baru itu selain memiliki kebijaksanaan akademik. Unsur memupuk kecintaan pada alam juga perlu diterapkan dalam kurikulum baru itu kerana teknologi hijau adalah teras industri akan datang. Tidak mustahil kegiatan pertanian boleh diperkenalkan semula kepada semua murid kerana bidang itu adalah sektor tonggak sesebuah negara. Perkembangan semasa juga menuntut murid didedahkan dengan sejarah negara melalui sukatan pelajaran yang bersesuaian dengan usia mereka.

Beberapa hari lalu, Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan transformasi terhadap kurikulum sukan sekolah rendah dan menengah dalam usaha mengembalikan kegemilangan sukan negara. Malah, jauh lebih penting ialah sukan akan mempromosikan persefahaman, persahabatan, kerjasama dan perkongsian emosi sesama murid yang majmuk untuk dibawa ke dalam kehidupan mereka akan datang. Apabila ada transformasi pada kurikulum pendidikan dan sukan di sekolah maka jangan abaikan tuntutan supaya inti pati kegiatan kokurikulum juga diberi nafas serta pendekatan baru. Kegiatan kokurikulum akan memupuk disiplin, taat setia, kepemimpinan, perpaduan dan sesetengahnya memperkukuhkan lagi imaginasi serta daya usaha seseorang pelajar dalam menggapai matlamat kerjaya masa depan mereka. Untuk mencapai matlamat itu, kerajaan wajar memastikan semua keperluan sokongan membabitkan guru, sistem pengurusan sekolah dan murid yang baru selain logistik seperti makmal, alat bantuan mengajar serta aplikasi komputer yang mesti disediakan secara drastik dan menyeluruh. Ini penting supaya tiada murid melalui proses pengajaran dan pembelajaran secara tidak sempurna. Kesinambungan daripada itu, kerajaan juga wajar melihat keperluan sistem pendidikan peringkat tinggi. Ada sesetengah subjek atau kursus tidak relevan selain tidak memberi penekanan untuk melahirkan tenaga kerja yang benar-benar diperlukan negara sejajar perkembangan global. Jelaslah, transformasi mesti dilaksanakan dalam sistem pendidikan pada semua peringkat yang akan membantu kerajaan dalam memacu negara serta rakyat ke arah mencapai Wawasan 2020.

Sumber:Berita Harian 25 Februari 2010

Wednesday, February 24, 2010

Cuepacs perlu cari kaedah imbangi kakitangan awam

WANITA mulai mendominasi sektor awam. Itulah kebimbangan Cuepacs seperti didedahkan Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd Zin yang mendakwa sesetengah bidang seperti perguruan, nisbah peratus kakitangan wanita dan lelaki ialah 70:30. Keadaan ini berlaku ketika kerajaan berusaha mencapai sasaran minimum 30 peratus wanita dalam sektor itu. Antara yang dipersalahkan Cuepacs berikutan keadaan ini ialah sistem pengambilan menerusi komputer yang menyebabkan lelaki tersingkir pada saringan pertama lagi. Pastinya alasan kebimbangan yang diberikan Cuepacs itu mengundang reaksi yang pelbagai. Datuk Seri Najib Razak sendiri menegaskan soal jantina tidak penting, yang penting sekali ialah hasil dan pencapaian perkhidmatan awam. Perdana Menteri juga tidak hairan wanita menjadi bilangan terbesar bagi pengambilan baru ke perkhidmatan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD), dalam jangka waktu terdekat, jika trend lebih ramai wanita masuk universiti berterusan. Malah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengulas isu sama menyatakan dasar kerajaan memperuntukkan hanya 30 peratus jawatan pembuat keputusan kepada wanita hanyalah suatu 'garis panduan'. Ini tentunya bermakna jumlah itu mungkin lebih jika ia berdasarkan kepada merit dan keupayaan golongan hawa itu. Mungkin apa yang perlu difikirkan Cuepacs ketika ini ialah bagaimana mahu mengelak keadaan seperti ini terus berlaku jika lebih 65 peratus pelajar di institusi pengajian tinggi bukan saja wanita, malah mereka juga cemerlang dalam bidang yang diambil masing-masing. Selain itu, Cuepacs juga perlu mencari sebab dan lebih bimbang dengan 'kehilangan' penjawat awam lelaki. Ke manakah sebenarnya mereka ini?

Di sinilah tanggungjawab Cuepacs yang menjaga kebajikan kakitangan sektor awam itu. Mereka perlu membantu mencipta penyelesaian bagi mewujudkan kembali keseimbangan jantina dalam sektor awam dan bukan mempertikaikan kelayakan dan kewibawaan wanita yang sudah terbukti setakat ini mampu melakukannya. Bagi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan agensi kerajaan lain, mungkin antara inisiatif yang boleh diambil ialah menawarkan biasiswa bagi bidang yang boleh 'menggilap potensi penjawat awam' di kalangan pelajar lelaki tanpa menindas atau menafikan hak pelajar perempuan. Tujuannya, melahirkan graduan menjadi penjawat awam lelaki yang mampu memenuhi keperluan sektor awam. Selain itu, kajian juga perlu dilakukan bagaimana untuk mengimbangi jumlah pelajar lelaki di IPT, terutama IPTA. Kegusaran mengenai kekurangan pelajar lelaki di IPT sebenarnya sudah disuarakan bertahun lalu, tetapi nampaknya trend itu bukan semakin mengecil, malah jumlah pelajar wanita di IPT terutama IPTA semakin melebar. Sebaliknya, pelajar lelaki dikatakan lebih bertumpu untuk memasuki institusi yang menawarkan kursus teknikal seperti yang ditawarkan politeknik. Apakah mereka ini berpotensi untuk mendapat pekerjaan dalam sektor awam. Dalam menuju matlamat mencapai negara maju, jangan jadikan gender sebagai penghalang, sebaliknya sama ada lelaki atau wanita perlu saling bergandingan bagi mencapai kejayaan itu.

Berita Harian 24 Februari 2010

Monday, February 22, 2010

Kecemerlangan sukan tuntut sokongan ibu bapa

KETIKA Kementerian Pelajaran bercadang untuk merombak dan menstruktur semula kurikulum sukan peringkat sekolah rendah dan menengah dalam usaha mengembalikan kegemilangan sukan di negara ini seperti disarankan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin, mungkin elok juga dikaji beberapa pendekatan yang diguna pakai di negara lain. Di Australia misalnya, mewajibkan sukan dan pendidikan jasmani diterapkan ke dalam kurikulum sekolah dan ia didapati berjaya termasuk kaedah enam subjek dihadkan untuk pelajar menengahnya bagi memasuki universiti. Malah, di Australia kebanyakan sekolah menengah berkongsi kos prasarana sukan dengan universiti berdekatan, menyebabkan bebanan perbelanjaan berkurangan dan ini juga boleh kita laksanakan. Misalnya, beberapa sekolah rendah atau menengah yang berdekatan dengan kampus induk atau kampus cawangan mana-mana institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara kita, boleh mengguna pakai kaedah sama, sekurang-kurangnya bagi menampung kos perbelanjaan prasarana sukan. Kita tahu, ada sekolah yang tidak mempunyai kemudahan sukan tertentu dan di kampus itu, pelajarnya boleh memanfaatkan kemudahan berkenaan. Bagaimanapun, tidak semua universiti di negara kita ini mempunyai kemudahan sukan yang lengkap berikutan sukan bukanlah dijadikan keutamaan.

Oleh itu, kita mengalu-alukan cadangan Muhyiddin kelmarin untuk Kementerian Pelajaran merombak dan menstruktur semula kurikulum sukan peringkat sekolah rendah dan menengah berikutan dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini, aktiviti sukan sekolah seolah-olah dipinggirkan, sering terkebelakang berbanding aktiviti lain sekali gus menenggelamkan kegemilangan sukan yang pernah menjadi kebanggaan pelajar. Berikutan itu, semua aktiviti dan kalendar sukan peringkat sekolah akan disusun semula supaya lebih teratur dan padat dengan pelbagai program pembangunan peringkat akar umbi. Antara pendekatan yang akan diberi perhatian khas dalam mencapai matlamat itu ialah mengasingkan sukan daripada kokurikulum lain serta melantik pegawai khusus menjaga pembangunan sukan sekolah. Kita percaya langkah itu berada di landasan betul kerana kegemilangan sukan seharusnya bermula di peringkat awal bagi melahirkan pelapis pelbagai jenis sukan untuk negara pada masa akan datang. Kita sedar baru-baru ini ramai kecewa apabila Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) menggugurkan 24 acara sukan dalam kalendar tahunan 2010 tetapi Kementerian Pelajaran mengumumkan peruntukan RM89 juta bagi mengembalikan semula acara berkenaan. Satu lagi permasalahan pada peringkat sekolah ialah ketiadaan jurulatih sukan dan kebanyakannya adalah guru biasa yang ditugaskan membimbing pelajar dalam pelbagai jenis sukan. Aspek ini juga perlu difikirkan oleh kementerian. Bagaimanapun, satu lagi aspek ialah kesediaan ibu bapa untuk menerima perubahan itu nanti, kerana ramai ibu bapa pasti mahukan anak mereka menumpukan perhatian untuk kecemerlangan akademik. Apa yang perlu dilakukan oleh kementerian ketika merombak semula kurikulum ialah supaya acara sukan untuk murid diadakan tanpa menjejas kelas akademik mereka.


Sumber:Berita Harian 22 Februari 2010

Sunday, February 21, 2010

Laman jaringan sosial mampu jadi pemangkin perubahan

Oleh Zainul Arifin
zainul@nstp.com.my

Kerajaan, pemimpin dan ahli politik perlu manfaat alam siber untuk kekal relevan

KEPADA mereka yang kurang tahu, laman Facebook adalah contoh fenomena jalinan media sosial yang terhasil daripada teknologi internet. Seseorang mendaftar menjadi ahli Facebook, dengan mengisi butir diri, betul atau tidak, tiada siapa yang akan periksa dan meletakkan gambar ataupun video.
Ahli Facebook mengemaskini laman mereka dengan butiran terkini mengenai diri mereka serta menyatakan pendapat mereka dan segala yang mereka suka atau tidak.

Setiap ahli Facebook boleh meminta untuk menjadi kawan ahli facebook yang lain. Lebih banyak kawan, mungkin lebih popular agaknya seseorang ahli Facebook. Baru-baru ini ada dilaporkan Perdana Menteri mempunyai lebih 100,000 kawan di laman Facebook beliau.

Berdasarkan statistik terbaru, ada lebih 350 juta ahli Facebook di dunia - kalaulah Facebook sebuah negara, maka ia adalah negara keempat terbesar di dunia.Lebih menarik lagi, di Malaysia terdapat 4.2 juta ahli Facebook, iaitu kesembilan paling ramai di dunia, di mana nombor satu ialah Amerika Syarikat.

Apa yang penting yang perlu diambil tahu ialah pengaruh yang luas oleh Facebook dan laman media sosial lain. Juga perlu diingat bukan semua yang di internet itu tidak baik. Cuma apabila kita tidak memahaminya, maka kita akan bimbang dan ragu.Satu lagi yang perlu diingati, tiada apa yang boleh dilakukan untuk menghalang atau mengawal internet. Sebarang cubaan akan membawa kesan lebih negatif daripada baik.

Kini terdapat beratus-ratus laman umpama Facebook, antara yang terkenal Friendster dan Myspace. Satu lagi statistik yang menarik - menurut beberapa laporan, hampir dua pertiga rakyat Malaysia adalah ahli salah satu daripada ratusan jalinan sosial media.Jelas, ini bukan fenomena kecil atau boleh diremeh-temehkan. Malah tahun ini dikatakan sebagai tahun media sosial di mana akan ada ledakan fenomena ini. Di Malaysia saja pertumbuhan keahlian Facebook, umpamanya, bertambah 10 peratus atau lebih 300,000 pada Disember lalu.

Baru-baru ini juga Timbalan Perdana Menteri juga melancarkan laman Facebooknya.Apakah maksud semua ini? Apakah penting dan relevannya kesemua ini untuk hidup kita?Ada orang kata aktiviti media sosial kurang bernas. Sememangnya ia boleh merugikan, seperti juga perkara lain, jika dilakukan berlebihan. Sudah tentulah kita boleh terlebih makan atau bersuka atau mengemaskini laman Facebook kita, maka ia memanglah memudaratkan, tetapi itu tidak menjadi sebab kita tidak boleh bersuka-ria.

Ahli seramai lebih empat juta, umpamanya adalah lebih daripada mana-mana parti politik di negara ini. Walaupun jika separuh daripada mereka tidak aktif, jumlah yang berada di alam siber itu adalah cukup banyak dan memberikan banyak peluang dan kemungkinan.Rasanya ledakan yang dikatakan itu ialah di mana fenomena ini berjaya menguasai bidang sosial, ekonomi dan politik. Siapa sangka mainan pelajar sedekad lalu kini menjadi pemangkin perubahan.

Dikatakan kempen politik Presiden Amerika Syarikat yang lalu dimenangi oleh calon yang faham dengan kuasa dan pengaruh jalinan media sosial, dan seterusnya menggunakannya untuk membantu di dalam kempen.Presiden Barack Obama menggunakan teknologi ini dengan sepenuhnya dan berjaya menyampaikan mesejnya kepada golongan muda yang tidak lagi cenderung dengan media arus perdana. Beliau juga berjaya memahami teknologi ini untuk menentukan segala mesej dan matlamat kempennya tidak lagi ditentukan dan ditapis oleh pemberita dan pengarang, malah adakalanya beliau terus langsung tidak menggunakan media arus perdana untuk sesetengah strategi kempen.Jelas dia berjaya, manakala lawannya yang tidak menerima media sosial secara menyeluruh, tidak.

Kekuatan utama laman seperti Facebook ialah pengaruh kawan-kawan. Contohnya, jika kawan kita berkata dia suka sesuatu filem, kita mungkin lebih percaya untuk membeli tiket, berbanding kata-kata iklan ataupun pengkritik. Kita lebih percaya jika kawan kita kata ada gerai yang menjual nasi lemak sedap yang perlu kita kunjungi, berbanding jika orang tidak dikenali berkata demikian.

Maka jika seorang rakan alam maya kita berkata dia percayakan Obama, jelas kata-kata ini akan menyerap ke jutaan, malah mungkin puluhan juta rakan yang terangkai dalam jalinan yang luas meliputi dunia. Sedikit sebanyak ada yang akan terpengaruh.Jika seseorang itu berkata ia menyokong sesuatu parti atau seseorang calon, besar kemungkinan dia akan dapat mempengaruhi kawannya lebih lagi daripada berjela-jela laporan media arus perdana. Maklumlah kawan kita mesti bercakap betul.

Mungkin sebagai media arus perdana ini bukan satu perkembangan yang baik, namun sesuatu organisasi yang dinamik perlu melihat bagaimana ia boleh kekal di dalam keadaan yang mencabar.Untuk media arus perdana kekal relevan, ia mesti memahami serta mendakap fenomena ini. Begitu juga kerajaan, pemimpin dan ahli politik.

Fenomena jalinan media sosial kini sudah lama dikenali oleh pakar pemasaran sebagai satu alat yang amat berguna untuk kerja mereka. Begitu juga perlulah parti politik dan pemimpin mereka menerima, memahami dan menggunakan media sosial untuk kekal relevan.Satu lagi statistik yang menarik - lebih 80 peratus ahli Facebook pula berumur antara 18 hingga 44 tahun. Jelas jika mahu berinteraksi dengan golongan muda, haruslah pergi di mana mereka berkumpul.

Sumber:Berita Minggu 22 Februari 2010

Friday, February 19, 2010

Pelaksanaan hukuman sebat kesalahan syariah lebih kepada mendidik

KETIKA Mahkamah Syariah di Pahang menjatuhkan hukuman enam kali sebatan terhadap seorang model, Kartika Sari Dewi Shukarno, mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 kerana kesalahan mengambil minuman keras, tahun lalu, pelbagai reaksi didengar. Walaupun banyak polemik selepas itu, pendirian institusi itu tidak goyah demi menjulang dan memartabatkan perundangan Islam di negara ini. Pelaksanaan hukuman itu terus menjadi perdebatan, malah sehingga hari ini Kartika masih belum menjalani hukuman. Ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kononnya memperjuangkan hak dan kebebasan, memperkecil-kecilkan hukuman berkenaan. Sebatan adalah antara bentuk hukuman termaktub dalam perundangan Islam. Kesan psikologi hukuman itu memberi pengajaran dan keinsafan kepada pesalah dan seluruh masyarakat. Hukuman itu tidak menyeksakan seperti sebatan dalam hukuman perundangan sivil. Mesej dan kesan jangka panjangnya ialah sebagai langkah mengekang jenayah sosial di kalangan umat Islam dan bukan niat untuk mendera sesiapa. Pelaksanaan hukuman sebat di negara ini diperuntukkan dalam semua enakmen undang-undang tatacara jenayah syariah bagi kebanyakan negeri iaitu Johor, Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Melaka, Pahang dan Perak selain Wilayah Persekutuan. Dalam Seksyen 125 bagi semua enakmen berkenaan, dijelaskan secara terperinci mengenai hukuman sebat dan ia disokong oleh Seksyen 126 enakmen yang sama berhubung masa melaksanakan hukuman. Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata tiga wanita yang disabitkan dengan kesalahan melakukan persetubuhan luar nikah menjadi kumpulan pertama menjalani hukuman sebat mengikut undang-undang syariah di negara ini. Kenyataan itu termasuk memberi gambaran sebenar pelaksanaan hukuman berkenaan.


Sebenarnya, pelaksanaan hukuman sebat terhadap pesalah jenayah syariah masih pada peringkat permulaan dan masih boleh dikemas kini. Kepada mereka yang mendakwa sebagai pejuang hak asasi sama ada di dalam atau luar negara, janganlah sewenang-wenangnya menyebarkan persepsi buruk terhadap perkembangan ini. Perundangan Islam yang memiliki ciri-ciri serta norma kesejagatan, harus diperakui dan diiktiraf di segi pelaksanaannya. Apabila semua pihak semakin cemas dengan pelbagai gejala sosial yang mengancam setiap anak remaja dan belia, maka masyarakat mesti mengalu-alukan pelaksanaan hukuman sebat mandatori sebagai inisiatif mengekang permasalahan itu. Untuk meningkatkan kesefahaman umum, pendedahan mengenai hukuman sebat mesti dilakukan. Orang ramai dan NGO mesti diberi akses mendapatkan maklumat atau kefahaman mengenai hukuman sebat bagi jenayah syariah yang sebenarnya jauh berbeza untuk pesalah jenayah seperti kes rogol mengikut perundangan sivil. Apabila hukuman itu digambarkan seperti seorang guru atau ayah masing-masing merotan pelajar dan anaknya maka niat hukuman itu adalah untuk mendidik supaya tidak mengulangi kesalahan sama dan langsung tidak bersifat kejam.

Sumber:Berita Harian 19 Februari 2010

Kebanjiran warga asing perlu diatasi secara lebih tegas

DALAM dunia tanpa sempadan kini jurang perpisahan antara negara makin lama makin lenyap. Pergerakan manusia dari satu tempat ke satu tempat menjadi lebih mudah dan lebih cepat. Manusia bergerak sama ada untuk melancong, melanjutkan pelajaran, lari dari konflik atau mencari rezeki untuk menikmati kehidupan lebih baik. Malaysia juga tidak sunyi daripada fenomena pergerakan manusia ini. Malah negara mengalu-alukan kedatangan mereka ini jika tujuannya untuk melancong, belajar atau bekerja. Di Malaysia dikatakan ada lebih dua juta warga asing dengan pelbagai status pekerja berdaftar, pelarian, pendatang haram dan pelancong yang lesap. Pada hari-hari biasa kehadiran mereka ini tidak dirasai. Tetapi pada hari cuti perayaan besar, kebanjiran mereka menjadi ketara terutama di kota-kota besar. Umpamanya di ibu negara ketika cuti umum Tahun Baru Cina, Ahad lalu berlaku perhimpunan puluhan ribu orang asing di sekitar Hentian Puduraya seperti Kompleks Cahaya Suria dan Kompleks Kotaraya di Jalan Silang selain Jalan Petaling, Lebuh Ampang, Chow Kit serta lorong dan jalan di sekitar kawasan itu. Mereka tampil dengan cara mereka tersendiri, dengan sikap dan perlakuan yang dibawa dari negara asal mereka.

Siapa orang asing ini adakah mereka halal atau haram. Tiada siapa yang dapat mengesahkan status mereka. Orang Rohingya, Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan, Vietnam, China, Filipina, Indonesia malah ada yang datang sejauh benua Afrika, yakni Nigeria, Ghana, Sudan dan negara Asia Tengah berkampung dan bebas melakukan sesuka hati di lokasi berkenaan. Apakah keadaan ini hasil sikap kita mudah memberi layanan baik kepada warga asing atau ketagihan majikan tempatan untuk menggaji pekerja asing? Kita faham dalam dunia serba moden sekarang kita tidak dapat lari daripada pergantungan kepada tenaga asing. Malah ada juga rakyat kita yang berhijrah kepada negara lain untuk mengejar ilmu atau mencari rezeki. Tetapi wajarkah kita menerima kedatangan semua warga asing tanpa usul periksa kualiti mereka. Kerajaan harus peka atau sensitif dengan perkembangan ini. Membanteras pendatang haram dan menggantikan tenaga asing dengan pekerja tempatan harus dijadikan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) masing-masing untuk Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Sumber Manusia mulai 2010.

Maka apabila kerajaan menetapkan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) termasuk membabitkan usaha mengurangkan jenayah maka realiti yang mesti diakui ialah sebahagian daripada kes itu membabitkan penjenayah asing. Kebanjiran mereka turut mengaitkan Malaysia sebagai pusat pelbagai sindiket antarabangsa seperti penyeludupan manusia, pengedaran dadah, pemalsuan dokumen imigresen serta kad kredit. Semua ini memburukkan imej Malaysia pada kaca mata masyarakat antarabangsa. Kerajaan juga mesti berpendirian tegas dan berpada-pada berhubung kesanggupan melindungi pelarian kerana Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) merekodkan ada 79,300 orang pelarian dan pencari perlindungan di negara ini.

Ringkas, kebanjiran orang asing akan menyumbang kepada pelbagai masalah sosial, ekonomi dan politik selain meningkatkan kos pengurusan kerajaan yang sepatutnya perbelanjaan itu boleh dikurangkan atau dimanfaatkan anak watan. Oleh itu, tindakan mengawal kehadiran semut asing daripada terus menikmati gula di negara ini perlu dilakukan segera demi kebaikan rakyat dan keselamatan negara ini.


Sumber:Berita Harian 18 Februari 2010