expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Monday, March 29, 2010

Sumber air negeri perlu diurus secara bersepadu elak ketandusan bekalan

AIR asas kehidupan dan kaedah menguruskan sumbernya sekarang akan menentukan kedudukan bekalannya pada masa depan. Musim kemarau kali ini sekali lagi menjadi amaran bahawa pengurusan sumber dan bekalan air di negara kita masih jauh daripada memuaskan. Banyak empangan kering dan bekalan air bersih di Johor, Kedah dan Sabah misalnya, terpaksa dicatu. Kekeringan sumber air yang masuk ke empangan dan sungai berpunca daripada banyak sebab. Antaranya, kawasan tadahan semakin mengecil kerana penerokaan hutan, perladangan dan pembangunan. Justeru, kita mesti mempunyai strategi untuk mengurus sumber air secara lestari untuk kelangsungan masa depan. Pada masa sama, sumber air baru mesti dipertahan dan dilindungi, Manfaatkan sumber konvensional sedia ada khususnya sungai dan empangan. Sumber air bawah tanah sepatutnya untuk keperluan masa akan datang jika sumber konvensional pupus atau benar-benar tidak mencukupi bagi menampung keperluan. Kenapa mesti tergesa-gesa meneroka sumber air bawah tanah sedangkan sumber lazim masih banyak. Cuma apa yang dituntut bak kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ialah pengurusannya perlu dilaksanakan secara bersepadu dan holistik. Maksudnya, kawasan tadahan mesti dipertingkatkan semula. Sungai yang dijadikan empangan mesti bebas pencemaran toksik, sisa kumbahan dan najis ternakan, mahupun tiada enapan dari sisa baja sektor perladangan dan pertanian. Zon penampan (buffer zone) di sepanjang sungai dan keliling empangan mesti dipertahankan. Kepelbagaian bio, hutan dan alam sekitar mesti dipulihara supaya sumber air kekal lestari.

Kita juga harus mencari kaedah bagaimana sumber bekalan air di semua negeri diselaraskan satu entiti atau agensi pusat. Sekurang-kurangnya ada syarikat berkepentingan kerajaan (GLC) Persekutuan menjadi pelabur tunggal untuk menyedia serta mengurus prasarana bekalan air di seluruh negara. Apabila Muhyiddin berkata pengurusan bekalan air mesti disepadukan, mesej itu mungkin membawa maksud supaya ada inisiatif bahawa urusan ini bukan milik eksklusif sebuah negeri, tetapi menjadi tanggungjawab bersama Kerajaan Persekutuan. Sebuah syarikat air negara mesti diwujudkan demi menjamin kelangsungan bekalan air untuk penduduk dan industri masa depan. Andai kita melihat bagaimana bekalan elektrik disalurkan ke seluruh negara melalui sistem grid maka tidak mustahil air juga boleh diedarkan melalui kaedah serupa. Memang wajar sesebuah negeri yang mempunyai lebihan sumber air seperti Pahang, Terengganu dan Perak membekalkannya kepada jiran yang menghadapi masalah bekalan.

Penubuhan konglomerat membekalkan air juga bersifat strategik seperti kerajaan ada kepentingan dalam soal petroleum, bekalan elektrik, kenderaan dan pengangkutan serta telekomunikasi. Sebenarnya, satu dana besar diperlukan untuk menambahbaik sistem penyaluran bekalan air memandangkan kira-kira 20 hingga 25 peratus air hilang sebelum tiba ke tangan pengguna kerana paip bocor dan reput. Andai kehilangan ini boleh diatasi, pasaran sebenarnya ada lebihan bekalan air sebanyak 30 peratus. Jadi, urusan dan pengurusan bekalan air adalah agenda nasional. Kesepakatan semua kerajaan negeri, agensi dan entiti terbabit untuk menguruskannya secara bersepadu serta holistik akan menjamin tidak ketandusan air suatu masa nanti.

Berita Harian:29 Mac 2010

Saturday, March 27, 2010

Majikan dituntut bersikap nasionalis, utama anak watan

KADAR gaji kakitangan sektor swasta sukar dikawal. Tiada skim gaji khusus untuk dikuatkuasakan dan dipatuhi majikan. Sebaliknya, ia lebih banyak dipengaruhi kuasa pasaran yang berasaskan permintaan dan bekalan. Tetapi dengan membiarkan kuasa pasaran menentukan keadaan maka kadar gaji akan kekal berada pada tahap rendah atau sukar ditingkatkan. Ini pastinya tidak sesuai untuk pekerja di kalangan warga tempatan yang perlu membiayai pelbagai kos untuk menyara kehidupan.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, meminta majikan menimbangkan tawaran gaji lebih menarik untuk pekerja tempatan. Saranan itu berikutan aduan diterima kerajaan mengenai gaji yang ditawarkan tidak memadai untuk menarik minat pekerja tempatan bekerja. Sejauh mana kerajaan khususnya melalui Kementerian Sumber Manusia boleh campur tangan dalam isu gaji sektor swasta? Dengan usaha meneliti semua dan meminda Akta Pekerja 1955, maka ada sudut tertentu yang membolehkan kerajaan campur tangan. Contohnya, meneliti semula soal kebajikan serta usaha meningkatkan produktiviti pekerja selain dari segi imbuhan dan faedah, mahupun menetapkan skim pembelajaran berterusan ketika dalam perkhidmatan. Kalau kadar gaji tidak boleh dinaikkan secara drastik, majikan masih boleh memilih dengan meningkatkan sumbangan dalam soal kebajikan, perubatan dan bayaran kerja lebih masa atau menambah kadar caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ada 17.6 juta rakyat Malaysia yang termasuk dalam kelompok mampu bekerja (15 hingga 65 tahun) di pasaran. Tetapi ada 387,210 orang mendaftar dengan Pusat JobsMalaysia (JCM) untuk mencari kerja. Ini bukan angka yang kecil. Jumlah ini sebahagiannya mungkin kalangan pencari kerja yang sedang bekerja, tetapi menerima gaji yang tidak memadai. Justeru, majikan dituntut bersikap nasionalis dengan mengambil lebih ramai pekerja tempatan. Mereka mesti ada kesedaran bahawa kek ekonomi dan kemakmuran itu lebih baik dikongsi atau dinikmati anak watan sendiri. Majikan pun tahu kesan kebergantungan dari segi sosioekonomi, mahupun pengaliran keluar wang dan kemahiran apabila sebahagian peluang kerja dalam negara ini diisi pekerja asing. Apabila pekerja tempatan diketepikan semata-mata kerana majikan enggan membayar gaji lebih kepada mereka, akhirnya keseluruhan komuniti industri akan rugi dalam tempoh jangka panjang. Contoh, Indonesia kini menjadi pesaing utama Malaysia dalam sektor perladangan kelapa sawit. Penggerak sektor itu di republik berkenaan sebenarnya rata-rata pernah bekerja di ladang negara ini. Mereka mengaut pengalaman, kemahiran dan gaji di sini tanpa sebarang kos dikenakan, tetapi akhirnya mereka menjadi ancaman kepada kita apabila menjadi tulang belakang industri sama di negara asal mereka. Sama juga halnya masalah pembantu rumah yang rata-rata adalah warga asing. Tetapi jika ada skim latihan khusus dan tawaran gaji menarik, tidak mustahil pembantu rumah pada masa depan adalah kalangan wanita tempatan. Mungkin kita boleh menimba sedikit konsep ‘juche’ yang menyuburkan semangat berdikari dan mandiri daripada kebergantungan kepada orang lain.

Berita Harian:27 Mac 2010

Saturday, March 20, 2010

Syor potongan cukai galak majikan buka pusat jagaan harian

MASALAH pembantu rumah seperti lari dari rumah, melayan kerenah mereka, sukar mencari pengganti dan tindak tanduk agensi pembantu rumah, boleh ditangani jika semua pihak, terutama agensi kerajaan dan majikan sektor swasta mewujudkan pusat jagaan harian untuk kanak-kanak. Separuh daripada masalah yang berbangkit itu selesai jika pusat seumpama itu dapat diwujudkan dalam persekitaran tempat bekerja. Ia turut menyelesaikan pelbagai masalah seperti pekerja terpaksa mengambil cuti atau cuti kecemasan gara-gara sukar mendapat orang gaji atau orang gaji melarikan diri. Masalah tidak datang bekerja gara-gara orang gaji itu, tidak timbul lagi jika ada pusat jagaan harian di tempat kerja. Kita bersetuju dengan saranan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, kelmarin supaya diwujudkan pusat jagaan kanak-kanak di pejabat bagi kemudahan ibu bapa. Cadangan itu dibuat berikutan banyak kes penganiayaan kanak-kanak disebabkan masalah tekanan perasaan. Kita akui banyak badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat sudah mewujudkan pusat jagaan seumpamanya, tetapi masih banyak yang belum berbuat demikian. Dengan adanya pusat seumpama itu di tempat kerja, ibu atau bapa boleh menjenguk anak mereka pada waktu rehat atau petang dan ini juga akan menjalin kemesraan antara keluarga bagi membentuk masyarakat penyayang selain jaminan keselamatan kepada anak itu yang diawasi dengan baik oleh penjaga terlatih di tempat kerja.

Langkah majikan membuka taman asuhan kanak-kanak (Taska) juga akhirnya akan mengurangkan jumlah orang gaji rakyat asing di negara kita. Sesetengah pekerja tiada pilihan dan terpaksa mencari orang gaji kerana suami isteri bekerja. Dengan adanya pusat jagaan harian kanak-kanak, suami isteri yang bekerja tidak perlu lagi mencari orang gaji. Jika pun mengambil pembantu rumah, ia mungkin untuk tujuan mengemas rumah, membasuh kain, memasak dan sebagainya. Hari ini, majoriti pekerja di negara ini memerlukan khidmat pembantu rumah untuk menjaga anak mereka. Kita berharap pihak berkuasa mengambil langkah jangka panjang dengan mengubah cara penjagaan anak yang sebelum ini diambil alih oleh pembantu rumah dengan kaedah lebih baik dan terurus. Sehingga sekarang kira-kira 300,000 rakyat mengambil pembantu rumah dan hanya dua peratus menghantar anak ke pusat penjagaan. Jika perlu, kerajaan mewajibkan majikan membuka pusat penjagaan kanak-kanak, tetapi dengan konsep serta bentuk pengurusan lebih sistematik dan harga berpatutan sebagai langkah jangka panjang bagi mengelak kebergantungan kepada pembantu asing atau kes berbangkit seperti penderaan. Misalnya, kerajaan boleh memberi subsidi pengecualian cukai sekurang-kurangnya dua kali ganda untuk menggalakkan individu atau syarikat menubuhkan pusat jagaan kanak-kanak.

Berita Harian:20 Mac 2010

Tuesday, March 16, 2010

Skim pencen pastikan masa depan pesara swasta lebih terjamin

MENJADI pesara adalah satu lagi babak baru dalam realiti kehidupan. Apabila memasuki gerbang itu, semua pesara mengharapkan ketenteraman hidup dan ketenangan jiwa tanpa dibebani rutin serta kerenah kerja. Bagi pesara sektor awam, sebahagian kos hidup mereka ditampung duit pencen bulanan. Kehidupan tidak lagi boleh digayakan seperti dulu. Duit pencen sekadar cukup menampung kos makan minum, selain membayar bil air dan elektrik serta berbelanja ala kadar. Namun bagi pekerja sektor swasta, jaminan hidup hari tua agak samar.

Caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dinikmati sebahagiannya ketika menjelang usia 50 tahun dan baki dikeluarkan sepenuhnya menjelang hari persaraan – 55 tahun. Ada kira-kira 11 juta pekerja dalam sektor swasta dan sebahagian lagi bekerja sendiri. Tetapi gara-gara belanja tidak berhemah menjadikan mereka kelompok yang miskin selepas wang KWSP habis dibelanjakan. Akibatnya, sebahagian pesara swasta akhirnya terpaksa mencari kerja baru untuk menyara diri dan keluarga. Ada yang terpaksa menjadi pengawal keselamatan atau tukang kebun sedangkan ketika usia sebegini mereka sewajarnya tidak perlu bekerja berat. Sebaliknya, menjelang usia emas, mereka berhak ‘hidup lebih tenang di rumah bersama keluarga dan memanjakan cucu’.

Justeru, potensi pekerja sektor swasta terdedah kepada kemiskinan apabila bersara, mendorong Kementerian Sumber Manusia memikirkan kaedah terbaik mewujudkan skim pencen untuk mereka yang dijangka dikuatkuasakan pertengahan 2011. Skim pencen mirip sektor awam itu perlu untuk membela kepentingan pekerja swasta, khususnya berpendapatan rendah supaya tidak termasuk dalam kategori miskin tegar. Dianggarkan ada lebih 400,000 pesara dan 1.3 juta penduduk berusia lebih 65 tahun di negara ini. Berikutan tahap kesihatan semakin baik, usia pesara semakin lanjut dan jika tiada skim pencen untuk meneruskan kehidupan, maka akan ramai pesara terpaksa bekerja berat untuk menyara kehidupan. Mereka juga terdedah kepada persekitaran dan persaingan sengit di tempat kerja dengan pekerja yang jauh lebih muda. Bagaimana wang caruman KWSP itu boleh bertahan sehingga 10 tahun selepas semuanya dikeluarkan pada usia 55 tahun? Bagaimanapun apa yang hendak dilakukan kementerian berkenaan untuk memastikan masa depan pesara swasta lebih terjamin jangan disalah anggap. Skim pencen itu bukan tindakan ‘merampas’ wang hari tua. Adalah wajar, sebahagian caruman KWSP diasing dan dijadikan pencen bulanan sekurang-kurangnya untuk tempoh 15 tahun selepas bersara. Jika mereka meninggal dunia awal daripada tempoh itu, duit pencen disalurkan kepada isteri atau anaknya. Lazimnya, apabila seseorang bersara, dia masih mempunyai tanggungjawab kepada anak yang masih bersekolah atau di institusi pengajian tinggi. Lantas, skim pencen yang sesuai dan merangkumi keperluan pendidikan, rawatan, perubatan dan keperluan seharian mesti dikuatkuasakan segera demi masa depan pesara.

Berita Harian: 16 Mac 2010

Monday, March 15, 2010

'Pengalaman banduan' boleh dijadikan kaedah kempen banteras jenayah

PENDIDIKAN adalah hak asasi setiap insan. Apapun status diri mahupun latar dan persekitaran kehidupan mereka, hak memperoleh pendidikan tetap ada. Ia perlu disediakan bermula dengan ibu bapa atau penjaga, kemudian kerajaan yang menyediakan kemudahannya. Laporan Khas dalam Berita Minggu semalam membuktikan hak memperoleh pendidikan tidak ada batas. Seramai 11 banduan muda, termasuk pesalah juvana yang dijatuhkan hukuman kerana kes bunuh bakal menjadi pemegang ijazah sarjana muda dan diploma menjelang 2013. Mereka antara yang diberi peluang melalui Skim Peluang Kedua yang disediakan Jabatan Penjara di sekolah integriti di seluruh negara. Seramai 544 banduan muda menyertai skim itu dan antara matlamatnya sebagai persiapan menghadapi cabaran hidup sekiranya dibebaskan selepas menjalani hukuman. Berdasarkan rekod, sembilan banduan muda itu mengikuti pengajian ijazah dalam pendidikan, teknologi maklumat, perundangan, pengajian Islam dan pengurusan perniagaan. Dua lagi mengikuti pengajian peringkat diploma di Universiti Malaya dan Universiti Terbuka Malaysia.

Jelas di sini, setiap individu mempunyai potensi maju dan berjaya dalam apa juga bidang, termasuk pendidikan. Cuma malangnya, pada usia yang terlalu muda sudah terbabit dengan jenayah yang dilakukan dengan pelbagai sebab atau faktor. Dengan perkembangan ini, akan lahir graduan istimewa menjelang 2013 yang boleh digunakan untuk dijadikan contoh. Tujuannya bukan untuk mencipta ikon daripada kalangan ‘bekas banduan’, tetapi yang harus diambil ialah kisah hidup mereka yang boleh dijadikan iktibar dan teladan masyarakat khususnya generasi muda. Antaranya, kisah mereka dibukukan. Mereka juga boleh dibabitkan dalam program motivasi dan pembinaan sahsiah. Kisah benar mereka mampu menyerap ke dalam diri peserta yang hadir dalam sesi ceramah bekas banduan itu. Untuk misi khas sebegini, banduan muda juga perlu didedahkan dengan proses pemantapan emosi, sahsiah dan kemahiran berkaitan dengan pidato awam. Keupayaan mereka untuk berhadapan dengan realiti dan umum mesti diperkasakan.

Sewajarnya, bekas banduan perlu dibabitkan dalam kegiatan kemasyarakatan. Ini bukan soal pengiktirafan, tetapi lebih kepada hakikat mereka juga ada tanggungjawab membantu membina masyarakat. Jika penampilan mereka tidak mahu didedahkan menerusi media massa, Jabatan Penjara boleh bekerjasama dengan agensi lain berkaitan bagi ‘memanfaatkan’ pengalaman dan keinsafan untuk direnung masyarakat. Babitkan mereka dalam siri motivasi di Pusat Latihan Khidmat Negara atau kelab kokurikulum, umpamanya. Malah jika mahu banduan ‘berkhidmat dan berbakti’ kepada masyarakat, maka perlu ada keberanian menampilkan banduan yang menunggu hukuman mati untuk ‘berkongsi pengalaman dan perasaan’ semoga itu menyuntik kesungguhan masyarakat untuk tidak terbabit dengan jenayah. Jika selama ini, ada bekas penagih dadah yang menghidap HIV dan Aids memberi motivasi supaya masyarakat tidak menagih dadah, maka pendekatan sama boleh dilakukan dengan mendedahkan ‘pengalaman banduan’ sebagai satu lagi kaedah kempen membanteras jenayah di kalangan masyarakat. Pastinya mereka berasa dihargai dan menyumbang kepada usaha memantapkan kewibawaan dan sahsiah masyarakatnya.

Berita Harian:15 Mac 2010

Friday, March 12, 2010

Budaya pengiktirafan mampu jadi pemangkin tingkat prestasi kerja

PENGIKTIRAFAN boleh menjadi motivasi dalam memburu kejayaan, kepuasan dan kebahagiaan dalam kehidupan. Apabila kerajaan memutuskan untuk memansuhkan bayaran wad kepada kakitangan dan pesara perkhidmatan awam yang mendapat rawatan di hospital kerajaan berkuat kuasa 1 April ini maka itu juga satu pengiktirafan yang sangat bermakna kepada mereka berkenaan. Apatah lagi, keistimewaan sama turut dinikmati anggota keluarga dan ibu bapa mereka. Pengiktirafan ini pasti melegakan. Ia sekali gus meringankan beban kewangan kedua-dua kelompok berkenaan. Memandangkan rawatan adalah elemen lazim yang dilalui sama ada ketika dalam perkhidmatan atau apabila menjadi pesara, kesanggupan kerajaan menyerap kos bayaran wad ternyata menyelamatkan sebahagian kos perubatan mereka. Ketika kos perubatan dan rawatan semakin meningkat, Pekeliling Bilangan 4 Tahun 2010 itu ibarat satu ‘bonus’ daripada kerajaan untuk keseluruhan jentera perkhidmatan awam. Cuma Cuepacs ketika memberi reaksi kepada pekeliling itu meminta kerajaan memberi pertimbangan wajar supaya kemudahan sama juga diberi kepada bapa pesara yang lazimnya di bawah jagaan mereka.

Namun, pengiktirafan adalah ungkapan unik, penuh simbolik dan ada ketika sukar dimengerti. Ia kadang kala tidak diimpikan, tetapi pada sudut dan ketika lain sangat didambakan. Pengiktirafan memberi kesan sangat besar untuk seseorang meningkatkan komitmen dan prestasi kerja. Pengiktirafan walau dinyatakan melalui sebatang pen atau sehelai sijil yang diserahkan melalui majlis ringkas sudah mencukupi menjadi ledakan motivasi. Pengiktirafan yang dizahirkan dengan menjamu makan malam di sebuah hotel kecil pun akan menjadi kenangan manis dan cerita hebat sepanjang hayat. Ia turut meningkatkan kesetiaan, menebalkan rasa tanggungjawab untuk mempertahankan entiti atau institusi. Pengiktirafan akan meningkatkan sokongan dan keyakinan bahawa majikan melihat sumbangan seseorang kepada organisasi. Itulah erti dan kesan pengiktirafan - biar pun kecil, tetapi sangat bermakna dan dikenang. Justeru, memberi pengiktirafan elok dijadikan budaya dalam sektor perkhidmatan awam dan swasta kerana kesannya bukan saja dirasai yang empunya diri, malah organisasi tempat dia berkhidmat.

Iktibar daripada perkembangan ini juga wajar diberi perhatian majikan sektor swasta. Aspek kebajikan dan faedah sampingan lain ketika seseorang masih bekerja atau apabila menjadi pesara, perlu diberi pertimbangan supaya sesetengah kerja yang kini dimonopoli pekerja asing, akhirnya diterajui semula oleh tenaga kerja tempatan. Komitmen majikan bagi soal rawatan dan perubatan pekerja swasta adalah antara yang perlu diberi perhatian ketika Kementerian Sumber Manusia bercadang meminda Akta Pekerja 1955. Apabila ada jaminan memperoleh kemudahan perubatan dan rawatan selain faedah sampingan yang difikirkan wajar maka tenaga tempatan akan berminat semula menceburi sektor perladangan, pembinaan, kawalan keselamatan dan perkilangan.

Berita Harian:12 Mac 2010

Tuesday, March 9, 2010

Pemantauan berkala elak salah guna, langgar syarat halal

UMAT Islam sering terperangkap dengan penggunaan logo halal. Bagi mereka, asalkan ada logo halal terpampang pada sesebuah premis, khasnya restoran, mereka berasa yakin dan selesa. Apatah lagi jika ada pula perkataan yang melambangkan simbol Islam atau pekerja wanitanya pula bertudung. Keyakinan mereka tidak pudar, meskipun pemiliknya bukan beragama Islam. Jika logo itu terdapat pada sesuatu produk pula, mereka tidak sedikit pun berasa bimbang untuk makan, minum atau menggunakannya bagi tujuan tertentu. Hari ini logo halal digunakan secara berleluasa pada pembungkusan makanan, meskipun status halalnya diragui. Biasanya, pengguna Muslim tidak bimbang menggunakan produk yang siap sedia dengan tanda halal kerana yakin ia bukan diperbuat daripada bahan haram. Kebelakangan ini timbul banyak rungutan dan aduan daripada pengguna mengenai status halal produk, termasuk makanan di restoran popular. Mereka pula mendapat status menggunakan logo halal itu daripada pelbagai pihak yang sudah tentu mempunyai kaedah tersendiri dalam pemberian sijil berkenaan meskipun ada garis panduan yang ditetapkan. Ini menimbulkan persoalan apakah rasionalnya membenarkan terlalu banyak badan mengeluarkan sijil halal. Adalah lebih wajar sijil halal dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan agama negeri-negeri. Langkah ini akan memudahkan kerja pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang. Hari ini, ada enam syarikat swasta mengeluarkan sijil halal kepada peniaga dan pemilik premis di seluruh negara.

Kita yakin, tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengarahkan enam syarikat terbabit supaya menghentikan pengeluaran sijil berkenaan kepada peniaga dan pemilik premis makanan di Selangor, ada sebab dan musababnya. Sudah tentulah kegagalan syarikat melakukan pemantauan selepas mengeluarkan sijil logo halal kepada pemohon seperti dilakukan Jais dan Jakim, mengundang padah. Kita berharap semua isu ini diselesaikan apabila Akta Halal diperkenalkan selewat-lewatnya akhir tahun ini. Pastikan segala arahan dipatuhi, termasuk tidak membenarkan produk makanan yang menggunakan logo halal atau tidak diiktiraf kerajaan, dipamerkan di ruang makanan halal di premis perniagaan seluruh negara. Kita berharap akta itu yang drafnya sedang dirangka sebelum dibentangkan di Parlimen Jun ini, memperincikan segala keperluan status halal. Ini termasuk pemantauan berkala sekurang-kurangnya dua kali sebulan di premis yang diberi sijil halal, kebenaran membolehkan pihak berkuasa seperti Jakim memeriksa senarai kandungan bahan produk makanan yang digunakan, terutama barangan import, bebas daripada sebarang bahan haram yang nyata seperti daging khinzir di premis khususnya bahagian dapur, tiada penjualan arak dan mengutamakan kebersihan. Di pihak kerajaan pula, diharap kakitangan penguatkuasaan Jakim atau jabatan agama Islam negeri ditambah untuk tugas ini apabila akta itu diperkenalkan nanti.

Berita Harian:9 Mac 2010

Friday, March 5, 2010

Biasiswa kaedah terbaik sektor swasta kongsi untung dengan negara

SEKTOR swasta perlu proaktif berhubung perancangan masa depan organisasi masing-masing. Pastinya, fokus diberi kepada aspek pemantapan organisasi, potensi projek atau pendapatan dan akhir sekali ialah perkiraan untung rugi. Bagaimanapun syarikat swasta dan korporat perlu memberi tumpuan kepada usaha memantapkan sumber manusia dan tenaga kerja baru. Satu cara paling berkesan ialah menyediakan dana pendidikan untuk menaja pelajar terpilih dan berkelayakan mengambil kursus yang diperlukan syarikat. Menaja biasiswa dilihat tindakan bijak mencari potensi yang tepat untuk mengisi jawatan kanan yang diperlukan dalam pelan perkembangan organisasi bagi tempoh tiga, lima atau 10 tahun sesebuah syarikat. Inilah antara kelebihan yang tersurat dan tersirat di sebalik saranan Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mahu lebih banyak syarikat swasta serta korporat menyediakan program biasiswa bagi meringankan beban kerajaan dalam membiayai pelajar kurang berkemampuan melanjutkan pelajaran. Pelaburan sebuah syarikat bukan setakat menyediakan modal tunai, membeli peralatan dan perkakasan selain mesin atau apa saja aset baru untuk memantapkan operasi. Menaja pelajar juga satu pelaburan kerana syarikat boleh memantau perkembangan pengajian pelajar berkenaan. Pelajar yang ditaja tentu akan meningkatkan kesungguhan dan komitmen untuk lulus cemerlang. Ibarat sebuah pasaran terbuka, syarikat boleh memilih yang terbaik di kalangan lulusan kolej atau institusi pengajian tinggi untuk menyertai organisasi masing-masing tetapi lebih bijak jika sesebuah organisasi 'membuat tempahan awal' dan 'mengikat' pelajar itu dengan membiayai kos pengajian mereka. Ini bermakna organisasi itu berada beberapa langkah di hadapan dalam usaha memperoleh tenaga kerja mahir dan profesional terbaik mengikut keperluan. Mungkin kaedah ini jauh lebih baik berbanding proses temu duga yang lazimnya sulit, mengambil masa serta gagal memuaskan hati.

Membiayai kos pengajian mana-mana pelajar yang terpilih juga bukti pernyataan terima kasih sesebuah syarikat kepada negaranya. Segala kemudahan, insentif, kemakmuran dan keamanan yang ada sehingga komuniti perniagaan mampu meraih keuntungan antara lain hasil keberkesanan pentadbiran kerajaan. Justeru, memulangkan sebahagian kecil keuntungan itu kepada masyarakat sememangnya satu tanggungjawab berdasarkan semangat mahu memakmurkan rakyat yang secara langsung atau tidak langsung menyokong seluruh komuniti perniagaan untuk meraih untung. Komitmen balas kepada kerajaan berdasarkan undang-undang adalah membayar cukai tahunan. Tetapi membiayai kos pengajian seseorang pelajar mengikuti kursus pengajian tinggi; atau menyumbang sebahagian kecil keuntungan untuk kebajikan adalah pernyataan tambahan kepada komitmen balas komuniti swasta dan korporat terhadap kerajaan serta rakyat. Hakikatnya, masih ramai potensi tenaga kerja mahir dan profesional untuk keperluan masa depan negara memerlukan pembelaan komuniti perniagaan dan budaya berkongsi untung yang kian subur ini akan menyelamatkan permata negara itu daripada pudar tidak digilap.

Berita Harian:5 Mac 2010

Thursday, March 4, 2010

Pengorbanan guru ke pedalaman buka ruang lebih berjaya

APABILA Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, guru sedia ada dan guru baru akan diwajibkan bertugas di luar bandar serta pedalaman maka ketetapan itu bertujuan menjayakan sebahagian lagi proses Program Transformasi Kerajaan (GTP) bagi menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tanpa dibatasi garis sempadan. Langkah mewajibkan guru berkhidmat antara tiga hingga lima tahun adalah antara usaha mengatasi kekurangan tenaga pengajar di kawasan berkenaan. Sistem pendidikan terbaik adalah yang memastikan setiap kanak-kanak berjaya dan ejen kepada kejayaan ini ialah guru. Ada seramai 369,931 guru berkhidmat di seluruh negara (perangkaan 2008). Mereka adalah ejen pembangunan sosial paling penting dalam merubah dan membentuk seorang individu sekali gus menjadi warga negara yang menyumbang kepada pembangunan keluarga, masyarakat, bangsa, agama dan negaranya. Syarat wajib ini jangan dilihat sebagai beban, igauan dan fobia kepada guru sedia ada mahu pun calon guru. Berkhidmat di luar bandar dan pedalaman mesti disambut secara positif. Kepayahan di sana akan melahirkan ketabahan dan tekad kental individu yang melalui. Keterpencilan melahirkan keinsafan sekali gus meningkat usaha seseorang untuk membuktikan kemampuan. Proses ini boleh dikategorikan sebagai hijrah yang terbukti di seluruh dunia sentiasa menjanjikan seseorang untuk menggapai kecemerlangan. Keputusan Nabi Muhammad SAW berhijrah dari Makkah ke Madinah adalah bukti paling jelas bahawa perpindahan membuka ruang seluas-luasnya kepada seseorang untuk lebih berjaya, tabah dan lebih berperancangan.

Apabila ayat pertama al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah berbunyi 'iqra' (baca) maka dengan jelas dan tepat menunjukkan keupayaan membaca bakal menentukan kehidupan seseorang dan hanya guru yang sanggup berkorban akan memastikan anak bangsa di luar bandar serta pedalaman menguasai kemahiran membaca seterusnya berupaya meneruskan kehidupan pada tahap terbaik selepas tamat persekolahan. Apabila kehidupan ini berkait sangat rapat dengan membaca (ilmu dan kemahiran) maka guru adalah kelompok yang sangat penting dalam sesuatu komuniti. Tanpa menafikan peranan ibu bapa dan persekitaran dalam proses kedewasaan seseorang, guru adalah individu paling hampir dengan setiap individu di dunia ini. Murid di bandar dan pinggir bandar menikmati proses pendidikan mantap serta sempurna dan ini mesti disamaratakan dengan murid di luar bandar serta pedalaman. Dengan purata 30 hingga 40 peratus murid adalah warga luar bandar serta pedalaman, angka ini memerlukan pengorbanan besar guru sedia ada mahupun guru muda untuk berkhidmat menjadi lilin tanpa alasan untuk menolak arahan. Melalui makmal pendidikan GTP yang mengumpulkan pelbagai maklumat kerjaya perguruan dan sistem pendidikan terbaik dunia, maka sektor itu mampu menghasilkan inisiatif melahirkan guru terbaik yang menguasai pedagogi pendidikan untuk membangunkan potensi murid luar bandar serta pedalaman.

Berita Harian:4 Mac 2010

Tuesday, March 2, 2010

Kerajaan usah tunduk protes isu kotak ikan

IKAN, sumber protein paling murah dan mudah didapati oleh pengguna kini diseret dalam polemik berhubung penguatkuasaan Kotak Ikan Berinsulasi Bergred Makanan. Penggunaan kotak baru bagi semua ikan import bermula semalam itu mendorong Persatuan Pengimport/Pemborong Ikan dan Sumber Laut Malaysia menghentikan import ikan. Tindakan itu dikhuatiri menyebabkan bekalan ikan merosot, sekali gus menaikkan harga ikan dijangka sehingga 10 peratus dalam masa terdekat. Jika masalah ikan pun 'dipolitikkan' pengguna juga yang menerima kesannya. Justeru, jalan penyelesaian mesti dicari segera. Jangan biarkan pengguna menanggung kos yang membebankan. Harga ikan di pasaran sepatutnya lebih rendah sekurang-kurangnya 10 peratus jika tidak wujud 'polemik dan pertelagahan' ini. Apabila arahan penggunaan kotak berinsulasi untuk ikan import kali pertama dikeluarkan pada 2006 maka tempoh lebih tiga tahun menjelang penguatkuasaannya semalam adalah mencukupi untuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan persatuan menyelesaikan isu itu. Tempoh arahan itu boleh dianggap sebagai tempoh notis untuk pengimport bersedia dengan keperluan dan prosedur baru ditetapkan kerajaan. Di kebanyakan negara, penggunaan kotak berinsulasi sudah lama dikuatkuasakan. Ia ada kaitan rapat dengan soal mutu ikan supaya tidak merosot sepanjang tempoh perjalanan dari pangkalan sehingga ke tangan pengguna. Penguatkuasaan itu juga membawa maksud supaya penggunaan bahan pengawet yang memberi kesan negatif kepada kesihatan pengguna, dikurangkan. Dari sudut lebih kritikal, pemasangan mikrocip pada kotak itu penting ketika kerajaan dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan di semua pintu masuk dan pelabuhan. Dengan ada mikrocip, penyeludupan apa juga bentuk bahan berbahaya seperti senjata api, dadah dan lain-lain, lebih mudah dikesani. Transformasi dalam skop mengawal pengimportan ikan dan makanan laut lain ini juga untuk mengurangkan persepsi rasuah terhadap Jabatan Kastam dan Imigresen selain meningkatkan keberkesanan tugasan jabatan berkenaan.

Sikap persatuan yang berkeras tidak menguntungkan atau memenangkan mana-mana pihak. Yang jadi mangsa adalah pengguna. Apabila LKIM mengambil inisiatif awal menambah import ikan sejuk beku untuk mengimbangi bekalan di pasaran maka itu antara alternatif bijak dan tepat. Tetapi tindakan LKIM itu sudah memberi mesej jelas kepada persatuan supaya sedar bahawa tanpa mereka, pengguna masih boleh memperoleh bekalan ikan mencukupi pada harga berpatutan. Memetik falsafah atau pendirian seorang ahli perniagaan yang berkata: "...Pemimpin berkaliber membuat keputusan tepat walaupun kadang kala perlu menonjolkan sifat diktator, tetapi pemimpin yang lemah diperintah oleh jawatankuasa atau mereka yang memerintah di sekelilingnya." Mungkin falsafah ini boleh dikaitkan dengan maksud bahawa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tidak perlu tunduk kepada mana-mana tekanan ketika kerajaan dalam proses menambah baik kaedah, prosedur atau pengurusan pentadbirannya untuk kepentingan serta kesejahteraan rakyat seluruhnya.

Berita Harian:2 Mac 2010