Tuesday, June 29, 2010

Terima kasih cikgu.....

Hari ini KM7 menghadiri satu jamuan yang diadakan oleh pelajar tingkatan 4,
iaitu pelajar yang memperolehi 9A dalam PMR 2009.
Seramai 37 orang pelajar mendapat 9A.

Sunday, June 27, 2010

Palestin:Anda peduli?

KM7 bertuah kerana dapat berjumpa dengan salah seorang peserta Konvoi Lifeline 4 Gaza (LL4G) pada hari ini.Beliau yang dimaksudkan ialah Dr. Syed Muhammad Haleem b Syed Hassan.Beliau berkongsi pengalaman sepanjang menyertai konvoi tersebut dengan guru-guru dan pelajar tempat KM7 bertugas.Ini adalah
adalah salah satu acara bagi program LL4G di SMKAM.

Program LL4G di SMKAM berlangsung selama 4 hari dengan pelbagai aktiviti seperti gerai jualan amal, nasyid,persembahan pentomin,melukis poster,qiamullail dan sebagainya.

Ini adalah antara hasil lukisan pelajar yang sempat KM7 rakamkan.Kreatif juga pelajar ni walaupun tak ambil subjek pendidikan seni.Apa yang penting,semangat menyokong Palestin kan?

Sebahagian gerai yang terdapat semasa program ini berlangsung.
Membeli sambil menderma.


KM7 percaya anda juga prihatin terhadap Palestin.Jom sama-sama menyokong usaha murni Palestin menentang rejim zionis.Anda mampu mengubahnya.

Thursday, June 24, 2010

Kunjungan Alumni SMKAM


1. Hari ini 24 Jun 2010, saya rasa bertuah kerana dikunjungi Alumni SMKAM.
2. Kehadiran mereka adalah untuk mesyuarat Alumni,
di samping memeriahkan program LL4G.
3. Semoga kunjungan ini dapat mengembalikan nostalgia
bekas pelajar SMKAM terhadap SMKAM

Tuesday, June 22, 2010

Israel terus rampas tanah Arab

BAITULMAQDIS: Israel berhasrat meneruskan pelaksanaan sebuah projek perumahan lengkap dengan taman dan kompleks awam di kawasan yang kini menempatkan 20 rumah rakyat Palestin di timur Baitulmaqdis.

Pemimpin Palestin terbabit mengecam projek berkenaan yang digelar Israel sebagai ‘King’s Garden’, sebagai satu usaha negara Zionis itu untuk memperluaskan kawasan didudukinya, walaupun ada bantahan pihak antarabangsa supaya ia menghentikan kegiatan berkenaan.

Jawatankuasa perancangan majlis perbandaran Baitulmaqdis mengadakan mesyuarat bagi membincang cadangan bagi mengubah wajah kawasan terbabit semalam, sehari selepas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu akur dengan tekanan antarabangsa agar Israel meredakan sekatan di Gaza berikutan serangan maut ke atas konvoi kapal bantuan kemanusiaan ke Gaza 31 Mei lalu.

Jurucakap bandar raya, Stephen Miller, berkata jawatankuasa itu dijangka meluluskan kajian semula pembahagian zon bagi membolehkan pembinaan 1,000 rumah dilaksanakan, meliputi 22 hektar di sebuah kawasan perumahan di timur Baitulmaqdis.

Dalam pelan perancangan itu, kira-kira 20 rumah rakyat Palestin yang dibina tanpa permit akan dirobohkan, manakala 60 rumah lagi yang dibina secara haram diberikan lesen.

Namun, bagi rakyat Palestin kelulusan permit bangunan adalah sesuatu yang sukar diperoleh dari Israel.

Pemimpin Palestin menyifatkan projek itu sebagai satu lagi cubaan Israel untuk memperkuatkan kawalan di seluruh Baitulmaqdis, dengan sektornya di sebelah timur ditawan dalam peperangan 1967 dan dijadikan sebahagian daripada kawasannya, langkah yang tidak diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

“Langkah ini adalah penjajahan oleh pihak perbandaran,” tegas Gabenor Baitulmaqdis yang dilantik oleh Pihak Berkuasa Palestin, Adnan al-Husseini.

“Mereka tidak boleh mendakwa yang mereka akan membina taman perumahan, tetapi pada masa sama menafikan orang lain terus menetap di situ.”

Mac lalu, Israel menimbulkan kemarahan Amerika Syarikat apabila ia mengumumkan ketika lawatan Naib Presiden, Joe Biden bahawa ia akan membina 1,600 rumah bagi penduduk Yahudi di kawasan yang didudukinya di Tebing Barat yang dianggapnya sebagai sebahagian Baitulmaqdis.

Miller mendakwa, projek ‘King’s Garden’ itu bertujuan ‘mempertingkatkan mutu kehidupan’ di Silwan dan sebuah taman dan kompleks awam akan dibina di kawasan berkenaan, yang boleh digunakan secara bersama oleh Arab dan Yahudi. – Reuters

Berita Harian:22 Jun 2010

Monday, June 21, 2010

Tembok Penjara Pudu berusia 100 tahun diroboh malam ini

KUALA LUMPUR 20 Jun – Tiba detik 10 malam esok, tembok Penjara Pudu di sini yang berusia 100 tahun, setinggi 4.5 meter dan sepanjang 394 meter yang menghadap Jalan Pudu akan dirobohkan.Seandainya tembok itu boleh berkata-kata, mungkin ia akan mengatakan bahawa 100 tahun sudah cukup baginya menyaksikan pelbagai peristiwa suka duka, pahit manis dan kini tiba masa untuk merelakan dirinya tumbang menyembah bumi setelah 14 tahun dilanda kesepian.

Mungkin ia juga akan mengatakan bahawa dirinya yang dahulunya gah dengan mural sepanjang 384 meter yang mencatatkan rekod sebagai yang terpanjang di dunia, kini sudah tidak tidak bererti lagi.

Penjara Pudu atau dahulunya dikenali sebagai Pudu Goal terletak di Jalan Hang Tuah mula dibina pada tahun 1891 di atas tanah seluas 10 hektar. Pembinaan penjara tersebut dibuat secara berperingkat-peringkat dan siap sepenuhnya pada tahun 1895.Tembok penjara yang dibina daripada batu bata yang dilepa dengan simen dan diimport dari negara penjajah Britain, mula dibina pada Februari 1891 dan siap pada Ogos 1892. Kos bagi pembinaan tembok ini sahaja bernilai RM15,360.90 (harga pada tahun 1800-an).

Namun begitu, kedudukannya di dalam kawasan segitiga emas Bukit Bintang yang pesat membangun dengan bangunan pencakar langit dan kesesakan arus lalu lintas terutamanya di Jalan Pudu menyebabkan bangunan penjara ini tidak lagi dapat dipertahankan dan terpaksa akur pada arus pembangunan.Justeru, apabila Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail mengumumkan cadangan merobohkan tembok penjara Pudu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pelebaran dan laluan bawah tanah di Jalan Pudu baru-baru ini memberi isyarat bahawa penjara yang menyimpan seribu satu kenangan yang nyata dan misteri itu akan hanya tinggal dalam lipatan sejarah.

Salah satu bahagian penjara yang banyak melakarkan cerita misteri ialah di Blok D yang menempatkan bilik akhir dan bilik gantung yang menyaksikan 180 pesalah menjalani hukuman gantung sampai mati di situ dari tahun 1960 hingga 1993.

Penjara berusia lebih seratus tahun ini juga pernah mencatat sejarah hitam yang tersendiri iaitu pada tahun 1985 apabila dua orang awam, Dr. Radzi Jaafar dan Dr. Abdul Aziz Abdul Majid ditawan oleh enam orang banduan reman yang diketuai Jimmy Chuah. Penawanan berakhir selepas enam hari apabila banduan itu menyerah diri.

Pada tahun 1985 penjara ini juga mencatatkan bilangan banduan yang tertinggi iaitu seramai 6,550 orang pada satu masa yang menyebabkan kesesakan dan memaksa banduan tidur secara bergilir-gilir.Ekoran itu pada 1996 setelah 100 tahun menabur bakti, Penjara Pudu ditutup dan digantikan dengan Penjara Sungai Buluh, Selangor, 36km dari bandar raya Kuala Lumpur.

Tinjauan Bernama mendapati, proses meratakan tanah di bahagian dalam dan bersebelahan bangunan telah selesai dan kerja meroboh tembok dijangka dimulakan malam esok, Isnin pada pukul 10 malam.Kerja-kerja meroboh kompleks penjara itu menimbulkan pelbagai reaksi daripada warga kota terutama bagi mereka yang mengetahui sejarah dan keunikan bangunan tersebut.

Bagi Prabu Munusamy, 32, beliau terkilan dengan tindakan tersebut berikutan bangunan penjara itu mampu berperanan sebagai tarikan pelancong.Menurutnya, walaupun bangunan tersebut pernah ”menyimpan” mereka yang melakukan jenayah, namun ia wajar dipelihara kerana mempunyai nilai yang tersendiri.“Bangunan ini pernah menempatkan penjenayah yang terkenal sejak dulu, jadi sampai hari ini pun ramai orang datang mahu melihat dan mengambil gambar bangunan ini,” katanya.

Chew Chong Huai, 52, berkata, tindakan tersebut amat menyedihkan memandangkan bangunan tersebut mempunyai nilai sejarah dan seharusnya dijadikan tapak warisan di tengah-tengah bandar raya ini.“Kalau di luar negara contohnya di China, bangunan bersejarah seperti ini akan disimpan dan dipelihara dan dijadikan sebagai warisan untuk tarikan pelancong,” katanya.

Bagi Irwan Hashim, 32, tindakan merobohkan tembok dan penjara berkenaan bagi tujuan pembangunan adalah tidak wajar tambahan pula bandar raya Kuala Lumpur sudah semakin sesak dengan pembangunan.“Cukuplah pembangunan, Kuala Lumpur ini sudah padat dengan bangunan, kompleks membeli-belah dan sebagainya, janganlah sampai pembangunan memusnahkan warisan kita yang mencerminkan siapa kita,” katanya.

Sementara itu seorang pelancong dari Filipina, Farancisco B. Lopez, 49, berkata, Penjara Pudu sepatutnya dipelihara dan dijadikan tarikan pelancong seperti penjara Alcatraz di California, Amerika Syarikat.“Ini satu pembaziran dan tidak digunakan. Saya diberitahu bahawa bangunan ini merupakan salah satu peninggalan sejarah di negara ini kerana ia dibina pada era (penjajahan) Britain pada tahun 1800,” katanya. – Bernama

Sumber:Utusan Online 20 Jun 2010

Wednesday, June 16, 2010

IPT diminta sekat JI sebar ideologi militan dalam kalangan pelajar

GERAKAN Jemaah Islamiah (JI) yang dikesan cuba mengaktifkan kegiatan militan mereka dengan mengambil ahli baru di kalangan golongan muda, adalah berita yang mencemaskan. Tambahan pula apabila mereka dikesan merekrut pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan remaja tempatan bagi menyertai kumpulan berkenaan.

Pendedahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berhubung perkembangan terkini kumpulan JI itu jelas menunjukkan JI tidak pernah berusaha ‘mematikan’ gerakan mereka, walaupun menghadapi pelbagai tindakan oleh pasukan keselamatan negara untuk menghapuskan kegiatan kumpulan yang berbahaya itu. Nyata, JI tidak serik untuk membuat onar.

Walaupun difahamkan JI sudah merekrut sekurang-kurangnya 30 pelajar IPT, kita bimbang jumlahnya mungkin lebih ramai daripada itu. Anggota baru JI di kalangan pelajar ini mampu bertindak sebagai ejen kumpulan itu dengan mempengaruhi lebih ramai penuntut di IPT. Pihak polis perlu segera menghalang kegiatan ini daripada terus merebak di IPT. Jika pelajar ini diresapi dengan fahaman dan ideologi militan, mereka bukan saja mengabaikan pelajaran, malah lebih buruk lagi boleh mengancam keselamatan negara.

Selain pihak keselamatan, pengurusan IPT sendiri wajar membantu mengesan kegiatan kumpulan ini di universiti dan kolej masing-masing. Pihak pengurusan khususnya di IPT yang mempunyai ramai penuntut dari luar negara perlu memantau kegiatan pelajar terutama membabitkan siri ceramah berbaur ekstremis dan radikal, sama ada dianjur di dalam atau luar kampus. Kegiatan kumpulan ini tidak boleh dipandang ringan mana-mana pihak kerana ia jelas boleh mengancam keselamatan, keamanan dan keharmonian negara.

Kita tentu tidak mahu muncul seorang lagi rakyat tempatan seperti Noordin Mohamad Top yang ditembak mati di Solo, Jawa Tengah, Indonesia, akhir tahun lalu. Noordin, 41, yang mengetuai kumpulan serpihan radikal JI dikenali ‘Tandzim Al-Qoidah Indonesia’ terbunuh dalam satu operasi pihak berkuasa negara itu. JI asalnya kumpulan pejuang agama yang bercita-cita mendirikan sebuah Negara Islam Raya di Nusantara, khususnya Indonesia, Singapura, Brunei, Malaysia, Thailand dan Filipina.

Terdapat asas kewujudan hubungan kewangan antara JI dengan kumpulan pengganas antarabangsa lain, seperti Abu Sayyaf dan al-Qaeda. Strategi mereka ialah melalui kekerasan dengan mensasarkan kepentingan Barat yang terdapat di rantau ini. JI turut disyaki terbabit dalam pengeboman Bali pada 12 Oktober 2002 yang mengorbankan 202 nyawa di beberapa kelab malam di pulau peranginan itu.

Apapun pelajar IPT dan remaja kita perlu berhati-hati terhadap kegiatan ini dan tidak mudah terpengaruh dengan dakyah dan propaganda kumpulan ini yang barangkali menjanjikan ‘syurga’ atas ganjaran perjuangan mereka. Perjuangan menggunakan keganasan tidak akan membawa sebarang kebaikan selain kemusnahan dan ancaman tidak berkesudahan. Mahukah kita hidup dalam kebimbangan yang berkemungkinan kita diserang pada bila-bila masa. Setiap pelajar wajar menggunakan kesempatan di IPT untuk menimba ilmu yang bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara.

Berita Harian 16 Jun 2010

Saturday, June 12, 2010

Pekerja mahir Malaysia di luar negara disaran pulang taburkan bakti

SEWAKTU negara menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja berkemahiran tinggi, ada lebih 700,000 rakyat Malaysia yang ditakrifkan dalam kategori mempunyai kemahiran, masih berkerja di luar negara. Walaupun setakat ini tidak ada maklumat terperinci mengenai profil, jenis pekerjaan dan kepakaran mereka, tetapi berpandukan maklumat, kita percaya mereka tergolong dalam kumpulan profesional.

Sebahagian besar mereka mempunyai pendapatan yang agak mewah yang menjadikan sukar untuk mereka untuk pulang ke tanah air tanpa alasan yang benar-benar kukuh. Jika berjaya menarik mereka kembali ke tanah air, kita yakin mereka akan memberi sumbangan yang besar kepada pembangunan negara. Sumbangan kemahiran mereka itu akan berupaya membantu melonjakkan daya saing negara, lebih-lebih lagi dalam usaha
kerajaan mahu menjadikan Malaysia sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi pada 2020. Sewajarnya kerajaan menjalankan usaha untuk menarik mereka supaya menyumbang bakti di negara sendiri. Setakat ini, usaha kerajaan terutama melalui Kementerian Sumber Manusia menerusi ‘Program Menggalakkan Warga Negara Malaysia yang Bekerja di Luar Negara Pulang ke Malaysia’ nampaknya kurang berjaya meskipun pelbagai insentif ditawarkan. Ini termasuk pasangan dan anak yang bukan warga negara diberi status penduduk tetap selepas enam bulan berada di negara ini, berkuat kuasa sejak 1 Januari 2001 lagi. Selepas melaksanakannya selama enam bulan, kerajaan memutuskan untuk meminda beberapa syarat bagi memastikan kualiti kepakaran yang diluluskan pulang ke Malaysia adalah selaras dengan keperluan negara dalam bidang kepakaran yang dikenal pasti.

Usaha terbaru kerajaan ialah menubuhkan Talent Corporation seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) kelmarin, yang akan menerajui inisiatif menarik rakyat Malaysia yang berkemahiran tinggi untuk menyumbang kepada keperluan tenaga kerja mahir negara.
Kita yakin fungsi Talent Corporation berbeza dengan program anjuran Kementerian Sumber Manusia sebelum ini bagi menggalakkan warga negara yang bekerja di luar negara pulang ke Malaysia yang menjurus kepada tenaga pakar dalam pelbagai bidang. Yang terbaru sekarang untuk diusahakan oleh Talent Corporation ialah bagi pekerja berkemahiran tinggi yang tidak semestinya pakar seperti doktor atau jurutera. Mereka ini mungkin mahir dalam pelbagai bidang kewangan, elektrikal, alam sekitar dan banyak lagi seperti jururawat.
Kita percaya keperluan sumber tenaga mahir mereka itu boleh membantu menggerakkan daya saing negara dalam pelbagai sektor yang diperlukan bagi melonjak kedudukan negara dalam saingan antarabangsa. Rakyat di luar negara itu tidak perlulah terlalu mengharapkan pelbagai insentif kerajaan untuk menarik mereka kembali, dan inilah masanya untuk membalas budi atau berbudi kepada negara sendiri. Kemajuan negara sendiri akan lebih penting meskipun ganjaran bekerja di luar negara mungkin lebih tinggi jika diukur dari segi wang ringgit.

Berita Harian 12 Jun 2010

Thursday, June 10, 2010

Cuti bersalin 90 hari mampu pastikan wanita terus bekerja

UMUM berpendapat, cuti bergaji 60 hari untuk ibu bersalin di negara ini tidak memadai. Mereka bukan saja melalui kepayahan fizikal ketika proses melahirkan anak, malah terpaksa menghadapi masalah emosi. Begitulah antara rangkap ayat dalam kempen mengumpul sejuta tandatangan '90 Hari Untuk Ibu' yang dilancarkan 8 Mac lalu bagi menyokong petisyen khas menuntut cuti bersalin ditambah 30 hari lagi, yang tamat 6 Jun lalu.

Fokus sekarang ialah perjuangan persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) memperoleh cuti bergaji 90 hari untuk ibu bersalin, sekali gus meletakkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, dalam dilema. Persoalan sekarang ialah sama ada tambahan cuti 30 hari itu wajar diberi dengan bergaji penuh, tanpa gaji atau dikongsi antara suami dan isteri. Wanita adalah penyumbang utama tenaga kerja negara dalam pelbagai sektor.
Seramai 5.1 juta wanita bekerja menggerakkan operasi pelbagai sektor, jabatan serta perkhidmatan. Negara seperti Belanda dan Singapura memberi keistimewaan kepada ibu bersalin dengan cuti bergaji selama empat bulan. Negara jiran – Thailand, Indonesia dan Kemboja pula sudah melaksanakan cuti bergaji selama 90 hari. Malaysia masih belum membuat keputusan sama ada mahu menurut jejak langkah kebanyakan negara jirannya atau mempunyai cara lain yang lebih sesuai. Umum sedar, ibu yang bersalin memerlukan perhatian, pembelaan, pemulihan dan membina semula keupayaan selepas melalui proses paling ‘payah dan menyakitkan’ itu. Proses itu harus berjalan serentak dengan pembinaan sahsiah seorang bayi untuk menjadi seorang anak dan warga negara berguna.
Seperti di Kemboja, syarikat diminta meluangkan masa 30 minit sehari untuk ibu menyusukan bayinya. Bagi yang mempunyai lebih 100 kakitangan wanita, syarikat perlu menyediakan bilik penyusuan dan pusat jagaan harian. Operasinya dibiayai oleh syarikat. Jelas, pembelaan untuk ibu bersalin dan mewujudkan sistem penjagaan bayi apabila ibu mulai bekerja adalah sangat mendesak. Shahrizat tidak boleh mengetepikan tuntutan ini dengan alasan kos atau ruang. Akta Pekerja 1955 perlu dipinda untuk membela fitrah wanita dan bayinya. Majikan juga mesti dibabitkan sama kerana mereka tidak mungkin boleh menafikan lagi sumbangan tenaga kerja wanita dalam syarikat atau jabatan masing-masing.

Majikan jangan melihat keperluan memberi cuti bersalin 90 hari serta penyediaan pusat jagaan di premis kerja sebagai tekanan atau paksaan. Sebaliknya, ini satu keperluan yang mampu meningkatkan produktiviti dan memperbaiki rekod kehadiran tenaga kerja wanita yang selama ini kerap dibebani dengan masalah anak.

Pastinya, cuti bersalin 90 hari dan mewujudkan pusat jagaan bayi serta kanak-kanak juga akan menyelamatkan ramai wanita berkemahiran dan profesional daripada berhenti kerja untuk memberi tumpuan sepenuh masa kepada bayi seperti berlaku kepada kebanyakan ibu muda sekarang. Keputusan berhenti kerja sebaik bersalin merugikan negara.

Berita Harian :10 Jun 2010

Monday, June 7, 2010

Kembara Alam: Bukit Mak Lipah 2010



Ekspedisi Badan Pengawas SMKA Melor ke Bukit Mak Lipah, satu kenangan yang tidak akan dilupakan. Biarpun penat mendaki tapi keseronokan tu ada! Apatah lagi dengan gurau senda  anggota ekspedisi sepanjang pendakian menjadikannya lebih bermakna. Keindahan alam semulajadi sepanjang Kembara Alam ini menyegarkan pandangan.