expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Monday, February 28, 2011

Bayi dan Sampah

(gambar hiasan:Google)

Kali ni nak cerita pasal sampah.
Kat mana-mana ada sampah
selagi ada manusia maka adalah sampahnya....
Jadi terbuktilah bahawa manusia adalah 
makhluk yang paling banyak buat sampah.
Cuba hitung..dalam sehari berapa jumlah sampah
yang dihasilkan oleh seseorang manusia?
hmmm itu baru seorang..kalau seluruh dunia....

Soalan budak sekolah...
Bagaimana sampah itu terhasil?

Jawapan cikgu..
Apabila seseorang itu membuang sesuatu 
yang tidak  diperlukannya lagi.

Soalan budak sekolah menengah...
Jadi kalau orang buang bayi...maka bayi itu  sampahlah!

Agaknya apalah yang patut dijawab oleh guru tu?

Sunday, February 27, 2011

Hari akhir bayar saman

(Gambar hiasan:Google)

Esok 28/2/2011
hari akhir bayar saman trafik.
haa..macamana abang-abang,kakak-kakak
makcik-makcik pakcik-pakcik sekalian...
dah jelaskan bayaran ke belum?

hmm..kat pejabat pos sehari dua ni
penuh dengan mereka yang baru sempat nak bayar saman.(yer ker)
Biasalah orang kita ni suka buat kerja last minute.
Apapun bayar tetap bayar kan...
kalau tidak tak pasal-pasal kena blacklist.

KM7 pun dah bayar saman tu..
bayar kat rumah secara online jer
sebab malas nak berebut-rebut kat pejabat pos.
Dalam beberapa saman tu..
ada juga ler saman yang bukan kesalahan kita sendiri.
nak buat macamana kan...dah daftar atas nama kita..
kita lah yang kena bayar..ishh tak adil nya...

Tengok berita tadi,
tempoh pembayaran saman tak dilanjutkan.
baguslah tu....
sesekali tu orang kita ni kena dilatih supaya
jangan tunggu saat-saat akhir...
mesti ada yang duk berkira-kira tempoh pembayaran
akan dilanjutkan.
hah ambik...camana tu..
rasanya esok jem teruk lagi kaunter pembayaran saman.
apapun...selamat membayar saman..
menyumbang untuk negara...huhu...

Shopping:Sudah bandingkan harga?

Anda suka shopping?
Mesti suka kan....
apatah lagi kalau ada yang sudi menaja
kita shopping tu..bertambah-tambah sukalah jawabnya.

Sedar atau tidak
ada dalam kalangan kita yang 
tidak membuat perbandingan harga
terlebih dahulu sebelum membeli
sesuatu barangan.
Dengan kata lain,terus beli apabila berkenan.
Maklum saja...duit banyaklah katakan..

Sebagai pengguna yang bagus,
kita disarankan membuat perbandingan harga
sebelum membeli sesuatu barangan atau perkhidmatan.
Tujuannya supaya wang yang dibelanjakan itu
berpatutan dengan barangan dan perkhidmatan yang diperoleh.
Belilah pada harga yang lebih murah tetapi
tetap berkualiti.

Sebagai pengguna
kita ada hak untuk membuat perbandingan harga.

Saturday, February 26, 2011

Cabutan Bertuah:Bertuahkah anda?

Petang tadi KM7 sempat
ke sebuah pasar raya
yang mengadakan cabutan bertuah.
Cabutan bertuah ini untuk
satu peraduan yang dianjurkan sejak hampir 2 bulan lepas.

Borang peraduan hampir 200 000.
Cuba bayangkan mereka yang terpilih tu
memang bernasib baiklah kan...

Hadiah berupa barangan elektrik.
Banyak juga...hampir 100 barangan.
hadiah utama sebuah TV lcd 42 inci.
Hmmm tahniahlah kepada yang menang.

KM7 memang selalu tak bernasib baik
dalam bab cabutan bertuah ni.
Jangankan hadiah utama,hadiah kecil pun tak dapat.
Sebab tu lah rasa malas
nak sertai apa-apa peraduan
yang berupa cabutan bertuah ni.
Mungkin ada hikmahnya tak menang kan!

Tapi ada orang tu
selalu jer berjaya.
setiap kali ada cabutan bertuah,
mesti naik nama atau nombornya.
hmmm pakai ilmu apa tu?
ada baca ayat-ayat ker?
hehhe.. gurau jer.
Itulah yang dikatakan nasib dan tuah badan.

Friday, February 25, 2011

PTPTN lanjut tempoh bayaran balik sehingga 30 bulan

TEMERLOH: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
(PTPTN) melanjutkan tempoh bayaran balik sehingga 30 bulan kepada mereka
yang belum mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.

Pengerusinya Datuk Ismail Mohamed Said berkata PTPTN sebelum ini memberikan tempoh enam bulan kepada mereka yang terlibat untuk membayar balik pinjaman itu.
"Ia kemudiannya dilanjutkan kepada 24 bulan, dan kini kita telah lanjutkan kepada 30 bulan," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Ismail yang juga Anggota Parlimen Kuala Krau berkata kadar faedah yang
sebelum ini sebanyak lima peratus juga telah diturunkan kepada satu peratus.

"Mereka yang belum mendapat pekerjaan perlu menulis surat atau berhubung
terus dengan pegawai PTPTN untuk memberitahu masalah yang mereka hadapi untuk
dipertimbangkan.

"Kita bersedia berbincang dan bertimbang rasa," katanya.
Beliau berkata sehingga kini seramai 1.67 juta pelajar menerima pinjaman
PTPTN. - BERNAMA

Berita Harian Online 25/2/11

Thursday, February 24, 2011

Bayar sekarang!

PUTRAJAYA 23 Feb. - Lebih 18 juta saman tertunggak dicatatkan oleh tiga agensi penguat kuasa kesalahan lalu lintas iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam tempoh 2000 hingga 2009.

Daripada sejumlah saman itu, 15.6 juta daripadanya merupakan saman polis, 1.8 juta saman DBKL dan kira-kira 606,800 lagi saman JPJ.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, semua pesalah trafik yang menerima saman daripada JPJ dan polis mesti menyelesaikan saman mereka selewat-lewatnya 28 Februari ini atau nama mereka disenaraihitamkan.

Statistik menunjukkan hanya 113,447 saman polis dan 1,227 saman JPJ dijelaskan dalam tempoh 11 Februari hingga 17 Februari, walaupun pemandu terbabit berdepan risiko disenaraihitam.
Statistik turut menunjukkan bahawa hanya 35 saman DBKL dijelaskan dalam tempoh sama sekali gus menunjukkan sikap orang ramai yang selalu mengabaikan saman pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kerajaan tidak akan menangguhkan tempoh pembayaran saman, orang ramai dinasihatkan membuat pembayaran secepat mungkin dan jangan menunggu sehingga hari terakhir.
"Mereka boleh membayar secara dalam talian, di kaunter agensi atau melalui 688 buah pejabat pos seluruh negara," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Solah berkata, JPJ, polis dan DBKL telah bersetuju dan bersedia melaksanakan kadar kompaun baru mulai 1 Mac seperti yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.
"Kadar kompaun lama bagaimanapun masih terpakai untuk saman-saman yang dikeluarkan sebelum 1 Mac.
"Untuk saman PBT, buat masa ini hanya DBKL yang terlibat dengan kadar kompaun baru tetapi ia akan diperluaskan ke lebih banyak tempat selepas ini," katanya.

Dalam pada itu, Solah berkata, pesalah trafik yang menerima saman daripada PBT termasuk DBKL buat masa ini tidak akan disenaraihitamkan walaupun pindaan Akta Pengangkutan Jalan membenarkan tindakan tegas itu diambil.

"Hanya penerima saman polis dan JPJ yang akan disenaraihitamkan pada peringkat ini.
"Kita bagaimanapun dalam proses untuk pastikan saman lain (termasuk daripada DBKL) akan disenaraihitamkan pada masa depan apabila mekanisme dan sistem komputer yang lengkap disediakan," katanya.

Utusan Online 23/2/11

Wednesday, February 23, 2011

Misteri suara tangisan dari dalam kubur

KUBUR Desi Tri menjadi tumpuan ramai di Prumpung, Jatinegara, Jakarta Timur semalam. 
JAKARTA - Penduduk di Prumpung, Jatinegara, Jakarta Timur mengerumuni sebuah kubur yang dikatakan mengeluarkan suara seperti orang menangis, lapor akhbar dalam talian Tribunnews.com semalam.

Kubur itu yang menempatkan jenazah seorang remaja perempuan di Prumpung, Desi Tri yang berusia 15 tahun itu menjadi tumpuan orang ramai sejak pagi semalam.

Desi meninggal dunia pada 18 Februari lalu kerana sejenis penyakit.
Menurut seorang jirannya, Bony, 38, dia turut mendengar cerita bahawa Desi didapati masih hidup semasa solat jenazah.

Bagaimanapun, seorang wakil ketua kampung, Bambang berkata, dia tidak mendengar suara tangisan dari dalam kubur tersebut.

Dia menjelaskan, jika kubur itu mahu digali semula, ia perlu mendapatkan persetujuan daripada keluarganya. - Agensi
Kosmo Online 23/2/11

Tuesday, February 22, 2011

Christchurch seperti zon perang

KUALA LUMPUR: Seperti zon perang. Itulah gambaran yang diberi pelajar Malaysia di Christchurch, New Zealand selepas gempa bumi dengan kekuatan 6.3 magnitud melanda wilyah itu hari ini.

"Keadaan seperti kena bom dan seolah-olah berada di zon perang. Saya tercampak beberapa meter dari tempat bekerja hingga menyebabkan kaki saya lebam teruk serta kasut koyak," kata Abdullah Mohd Nawi ketika dihubungi Bernama.
Pelajar ijazah Doktor Falsafah (PhD) Universiti Canterbury itu berkata, beliau sempat berlindung di bawah meja bagi mengelakkan dihempap oleh benda yang jatuh.
"Sebaik keluar dari bangunan itu, saya agak hilang arah dan tidak tahu hendak ke mana, rasa takut jangan cakaplah apatah lagi apabila melihat keadaan sekeliling orang berlari-lari untuk selamatkan diri serta bunyi siren bomba, polis dan ambulans," katanya.

Beliau berkata, orang ramai berpusu-pusu melarikan diri ke kawasan lapang bagi mengelakkan diri daripada ditimpa runtuhan bangunan jika berlaku gempa susulan.

"Ketika itu, hendak jalan memang sukar kerana terpaksa mengharungi air yang keluar di sebalik rumput akibat gempa bumi dan difahamkan ia adalah air kumbahan yang pecah di bawah tanah dan bayangkan situasi ketika itu yang amat busuk," katanya.

Beliau juga dapat melihat beberapa orang yang masih terperangkap dalam bangunan meminta tolong dengan melambai-lambai menggunakan baju supaya dapat dilihat oleh pihak penyelamat.
Abdullah bagaimanapun tetap bersyukur kerana selain beliau, isteri serta dua anaknya yang berada di kediaman mereka juga terselamat.

Kejadian gempa yang melanda pada waktu tengah hari waktu tempatan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 65 terbunuh serta ramai terperangkap dalam bangunan yang runtuh.

Bagaimanapun Wisma Putra melaporkan semua rakyat Malaysia termasuk 390 pelajar berada dalam keadaan selamat.

Ini adalah kali kedua bandar raya itu dilanda gempa bumi dalam tempoh enam bulan, selepas gegaran sekuat 7.1 magnitud pada September lalu yang mengakibatkan kerosakan serius pada bangunan dan infrastrukturnya.

Sementara itu, bekas editor bersekutu The Star, Hah Foong Lian yang mengikuti pengajian peringkat PhD di sana berkata beliau tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Saya berada dalam keadaan baik. Agak terkejut dengan kejadian itu. Rumah yang saya diami juga masih utuh, tetapi di hujung jalan seorang wanita terbunuh di bawah runtuhan kedai buku," katanya menerusi emel kepada Bernama.

Katanya, laporan media menyebut 65 terbunuh manakala 100 lagi dipercayai terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Seorang lagi pelajar PhD dari Universiti Lincoln, Tuan Ahmad Tuan Ismail berkata, situasi di sekitar bandar Lincoln yang terletak kira-kira 20 km dari Christchurch agak huru-hara.

"Jalan raya sesak, ada kawan saya tereprangkap dalam kereta selama tiga jam semasa hendak ambil anak dia di tadika...situasi kacau-bilau apatah lagi sudah keluar arahan darurat yang mana semua kena duduk di rumah dan tidak dibenarkan keluar," katanya.

Katanya, semua kedai dan pasar raya juga ditutup berikutan kejadian itu.

"Nasib baiklah saya baru beli baru-baru (keperluan harian) ini jadi adalah sedikit stok makanan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian Online 22/2/11

No Plastic Bags?


Kempen ni dah lama
diperkenalkan tahun ni.
Sajalah KM7 baru berkesempatan
menulis tentangnya.

Sudah menjadi kebiasaan
bagi kita sekarang,
setiap Sabtu
tiada lagi beg plastik disediakan
kepada pembeli-pembeli
di pasar raya khususnya.

Langkah ini sangat baik
untuk menyelamatkan bumi
bagi generasi akan datang.

Mungkin pada peringkat
awal nampak macam
menyusahkan pengguna,
tapi diharapkan perkara
ini menjadi satu kebiasaan kelak.

Ada sesetengah pasar raya
menyediakan beg kertas kepada
pengguna mereka dengan mengenakan bayaran.
Kalau harga beg kertas tu murah 
tak apalah juga.
tapi kalau mahal dan kurang berkualiti,
eloklah dibawa sendiri dari rumah.

Kadang-kadang tu
kalau nak membeli dalam kuantiti yang banyak
dan kereta pula terpaksa parking jauh,
maka KM7 batalkan saja niat
untuk shopping pada hari Sabtu.
Bukan tak mahu sokong kempen ni
cuma tak mahu menyusahkan diri....huhu...
sekian terima kasih.

Monday, February 21, 2011

'Tuala wanita punca barah pangkal rahim'

Kementerian Kesihatan digesa beri penjelasan

KUALA BERANG: Kementerian Kesihatan digesa memberi penjelasan kepada orang ramai berhubung dakwaan bahawa penggunaan tuala wanita dikatakan menjadi punca wanita menghidap penyakit barah pangkal rahim.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Rosol Wahid, berkata penjelasan perlu bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan rakyat berhubung dakwaan itu yang dibuat beberapa persatuan pengguna dan tersebar melalui internet.
Berdasarkan kajian sebuah persatuan pengguna, antara punca utama wanita diserang barah pangkal rahim adalah disebabkan penggunaan tuala wanita yang diperbuat daripada bahan buangan termasuk kertas terpakai.

“Jika kita kaji dan membuat perbandingan, wanita pada zaman dulu tidak menghidap penyakit barah pangkal rahim kerana tidak menggunakan tuala wanita, justeru, dakwaan itu memang nampak ada asasnya.

“Sebab itu kita minta kementerian membuat kajian dan mengumumkan sama ada dakwaan dibuat persatuan pengguna terbabit betul atau sebaliknya supaya orang ramai terutama di kawasan luar bandar tidak terus keliru,” katanya.

Beliau berkata demikian ditemui selepas merasmikan Kem Kesihatan Felda Bukit Banding bertemakan ‘Ke Arah Kesedaran Penyakit Kusta dan Barah’ di Dewan Sivik Felda Bukit Banding, Ajil, Hulu Terengganu di sini, semalam.
Sementara itu, Rosol juga meminta Kementerian Kesihatan membuat kajian mendalam mengenai serangan angin ahmar yang semakin berleluasa hingga kerajaan negeri mendapati hampir setiap keluarga ada seorang penghidap.

“Selain kajian, kementerian juga perlu menggiatkan kempen kesedaran dan langkah pencegahan bagi mengelak serangan angin ahmar di kalangan penduduk termasuk di kawasan luar bandar.

“Kita difahamkan punca utama serangan angin ahmar adalah disebabkan saluran darah tersumbat dan saluran urat pada otak pecah,” katanya.

Berita Harian Online 21/2/11

Sunday, February 20, 2011

Pitam mandi sauna

SAUNA mungkin menjadi tarikan utama pengunjung di hotel, spa atau pusat kesihatan yang dahagakan sensasi kenikmatan bersifat menenang dan mendamaikan jiwa.
Ada yang menjadikan sauna sebagai lokasi rawatan alternatif untuk mengurangkan berat badan.
Menurut kajian yang dijalankan oleh badan ketenteraan Amerika Syarikat (AS), sebanyak 3,000 kalori dibakar dalam badan setiap kali sesi mandian sauna.
Secara saintifiknya, hasil rembesan hormon endorfin daripada kelenjar peluh mampu menyingkirkan toksin yang tidak diperlukan oleh badan menerusi liang-liang peluh.
Manfaat lain yang diperoleh antaranya mampu meningkatkan keupayaan buah pinggang agar berfungsi lebih baik serta meningkatkan peredaran dan tekanan darah dalam badan.
Malah, kulit lebih segar hasil daripada wap air dari bilik sauna manakala otot menjadi kendur usai menikmati aktiviti tersebut.
Menurut kajian oleh sepasukan pakar dari Jerman, mandian sauna meletakkan diri seseorang dalam keadaan ‘sakit.’
Hal ini bertujuan untuk menstimulasi sistem pertahanan badan dan akan menjadikan tubuh pengguna yang kerap bersauna agar lebih berdaya tahan menentang penyakit.
Namun, tanpa disedari mandian sauna juga mempunyai kesan sampingan yang tersendiri sama ada dari sudut dalaman badan mahupun luaran.
Hakikatnya, suhu bilik sauna sebenarnya boleh mencecah sehingga 100 darjah selsius dan kesannya akan mengakibatkan suhu kulit meningkat sehingga 40 darjah selsius.
Mekanisme badan bertindak balas dengan berpeluh secara cepat dan banyak manakala jantung berdegup semakin laju.
Pakar Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Tropicana, Dr. Haizal Haron Kamar berkata, peningkatan kadar denyutan jantung yang melampau boleh mengakibatkan bahana kepada pesakit yang tidak biasa dengan mandian sauna.
Jelasnya ketika dihubungi Jurnal baru-baru ini, suhu tinggi akan menyebabkan pembuluh darah di bawah permukaan kulit membesar dan tekanan darah akan menurun secara mendadak.
Fenomena ini menyebabkan jumlah kandungan air berkurang akibat perpeluhan melampau. Pada satu peringkat, seseorang itu akan mengalami tekanan darah terlalu rendah sehingga menyebabkan pening dan pitam.
“Elak mandian sauna jika ada penyakit jantung koronari, penyakit lemah jantung dan injap jantung sempit,” nasihatnya.
Tambah Haizal lagi, simptom awal seperti kulit kelihatan kemerahan merupakan petanda pengaliran darah dalam badan berkurangan.
“Ini kerana pengaliran darah di kulit meningkat sebanyak 70 peratus daripada jumlah pengeluaran darah jantung,” ujarnya yang menyarankan individu penghidap komplikasi jantung berbincang dengan pakar sebelum bersauna.
Menurut pakar perunding masalah kulit dan dermatologi Pusat Perubatan Pantai, Dr. Steven Chow pula, pengguna sauna yang mempunyai masalah kulit perlu mengelak daripada menggunakan kemudahan sauna.
Radang
“Kulit manusia tidak mempunyai kefungsian suhu dan perpeluhan yang normal, akibatnya tindak balas individu akan berbeza-beza,” katanya yang menyatakan pesakit masalah kulit akan mengalami sensasi seumpama terbakar apabila bersauna.
Kulit juga akan menjadi kekeringan, menggelupas dan kurang selesa kepada persekitaran biasa selepas aktiviti bersauna.
“Apabila suhu persekitaran badan meningkat, badan kita perlu menambahkan jumlah tenaga haba untuk dikeluarkan melalui pertambahan jumlah peredaran darah ke permukaan kulit badan,” jelasnya mengenai proses peningkatan peluh bertujuan menyejukkan badan.
Saranan Steven, pesakit yang mempunyai masalah kulit perlu memakai krim yang mempunyai kesan melembapkan bagi mengelak kerengsaan ketika bersauna.
Selain itu tegasnya, individu yang mempunyai masalah sama juga digalakkan agar mencari jalan alternatif lain untuk bersantai bagi tujuan terapi fizikal.
Pakar Seksual Lelaki, Wanita dan Reproduktif, Dr. Ismail Thamby mengakui mandian sauna berupaya melancarkan perjalanan darah di samping menyegarkan badan.
Kesuburan
Bagaimanapun katanya yang dihubungi Jurnal baru-baru ini, tahap kepanasan yang melebihi paras tertentu berupaya menjejaskan kualiti kesuburan lelaki.
“Jika tahap kepanasan melebihi 35° Celsius, kilang sperma tergendala dan pemprosesan sperma juga akan turut tergendala.
“Kesannya, sperma yang aktif menjadi kurang akibat terdedah kepada kepanasan yang terlampau,” ujarnya.
Saranan Ismail, lelaki yang mempunyai masalah sperma dari segi kualiti dan bilangan sperma ditegah daripada bersauna.
“Jika pendedahan ini ketara dan untuk jangka masa lama, sudah tentu akan mengambil masa untuk kilang sperma pulih.
“Lebih baik elakkan mandian sauna sama sekali jika berkeinginan untuk mendapatkan cahaya mata,” nasihatnya kepada lelaki yang akan berkhawin dalam masa yang terdekat.
Ketua Pengarang penerbitan Harvard Men’s Health Watch di Universiti Perubatan Harvard, Dr. Harvey Simon berkata, masih kurang bukti sahih yang menyatakan bahawa mandian sauna boleh memberi faedah berpanjangan kepada kesihatan pengguna.
“Jika mandian sauna tidak menjejaskan kesihatan penggunanya maka tiada halangan untuk melakukan aktiviti ini, sebaliknya bagi individu yang mempunyai komplikasi jantung amalan ini mungkin boleh mengundang bahaya,” ujarnya.
Selain itu, tambahnya, pesakit yang mempunyai penyakit tekanan darah lemah, denyutan jantung tidak stabil dan saluran pembuluh darah kecil dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti mandian sauna.
Harvey juga menyarankan supaya pesakit yang mempunyai masalah jantung sentiasa membuat pemeriksaan kesihatan sebelum menggunakan sauna.
Sementara itu, menurut Persatuan Sauna Finland, individu yang perlu mengelakkan bersauna adalah mereka yang demam atau mempunyai penyakit dan kecederaan yang berisiko untuk berjangkit.
“Individu yang mempunyai penyakit yang berpotensi untuk berjangkit dengan individu lain perlu mandi menggunakan sauna peribadi,” saran persatuan tersebut selain tidak menggalakkan peminum alkohol menggunakan sauna.

kosmo online 20/2/11

Saturday, February 19, 2011

Kenapa menonton filem Bollywood?

(foto hiasan google)

Filem Bollywood memang
tidak asing lagi
di negara kita.

Malah filem-filem ini
mempunyai peminatnya yang tersendiri.
Kenapa orang suka
menonton filem-filem Bollywood ini?
KM7 tak minat sangat...
tapi sesekali tu tengok juga.
Itupun di kaca TV saja.
tak pernah pun beli VCD atau DVD
filem-filem tersebut.

KM7 rasa yang best
dalam filem-filem ini ialah
kebanyakan lokasinya cantik dan menarik.
hmmm nampak mendamaikan.

Friday, February 18, 2011

Isteri bekerja:apa komen anda?

(foto hiasan:google)

Zaman sekarang
ramai dalam kalangan
wanita yang bekerja,
termasuklah yang sudah
bergelar isteri.

Apa komen anda
terhadap isteri
yang bekerja?

Terlalu banyak kenangan


Hai..tengah mengelamun ker
maklum sajalah terlalu banyak kenangan.
Tak kira suka duka
mahupun pahit manis.
Semuanya terpahat kukuh di minda.

Perlukah kenangan itu dikongsi bersama?
adakah insan yang sudi mendengarnya?
atau biarkan ia terus segar
di  lipatan sejarah
pergi bersama berlalunya waktu.

Macam-macam cara
seseorang itu mengabadikan kenangan mereka.
Apapun caranya
tujuannya tetap sama,
sebagai ingatan buat diri sendiri.

Justeru simpanlah kenangan.
Bukalah pada masa-masa tertentu sahaja.
Jangan biarkan diri
terus hanyut dalam kenangan.

Wednesday, February 16, 2011

Apa khabar M Nasir?


Dapat jumpa dengan artis
yang kita minat..tentu seronok kan.
Macam dalam foto kat atas tu la...
KM7 pernah bertemu dengan M Nasir ni.
Masa tu masa KM7 masih muda remaja.
Lokasi tu di Langkawi.
KM7 memang kenal M Nasir ni
cuma M Nasir jer yang tak kenal KM7 ni.hehe..

Tengoklah M Nasir masa tu 
pun masih muda.
Rambutnya kira maintain lah kan.
KM7 cukup suka dengan
suara dan lagu M Nasir.
Lirik lagunya sentiasa ada mesej.
terutama lagu-lagu
berunsurkan ketuhanan,kedamaian.
akar bangsa dan warisan Melayu.

Oh ya..ada ker yang tanya mana satu KM7 ?
hehe..teka lah sendiri.
Kalau betul tahniah....
hadiah tak disediakan...

Tuesday, February 15, 2011

Mahu lawan catur?

(foto hiasan:google)

Mahu lawan catur?oppsss...tajuk jer tu.KM7 bukan pandai pun main catur ni.Maklumlah masa kecil-kecil dulu tak ada siapa pun yang sudi mengajar KM7 main benda tu.huhu...kesiannya...Tapi budak-budak sekarang memang dahsyat..hebat main catur.

KM7 bukan nak bincangkan kebaikan atau keburukan main catur ni.Cuma nak sentuh pasal orang-orang yang main catur ni.Kalau di kampung-kampung tertentu permainan ini memang popular.Di Kelantan ni permainan seumpamanya dikenali main dam atau haji cukup popular di kedai-kedai kopi.Pemain-pemainnya pula kebanyakannya pada tahap usia senja.Hmmm kira pro lah tu sebab sejak kecil sampai tua main haji ni.

Satu perkara yang tak seronok untuk dilihat ialah ada kalangan pemain-pemain haji ni macam tak ingat dunia.Yer la...dari pagi sampai tengah hari,kemudian sambung ke petang pula.Kalau tak puas hati bisa sambung ke malam.Pakcik-pakcik ni takde tanggungjawab lain ker?Entahlah..kalau tanya mereka  nanti ada yang kena penampar.ishh...ish....

Kalau pakcik-pakcik baca kitab kan baik..Atau luangkan masa bersama anak cucu ker...Ini tidak,makcik-makcik pula ditinggalkan keseorangan...Apa kata kalau nak main haji kat kedai kopi,bawa makcik-makcik join sekali.hehe...Nak main sesekali tu ok juga la.Tapi ada yang macam dah ketagih pula.

Permainan kat kedai kopi biasanya dalam kalangan warga setempat saja.setakat ni belum ada yang nak anjurkan pertandingan peringkat kampung,daerah atau negeri dalam kategori pakcik-pakcik ni.Maka kehandalan pakcik-pakcik ni kira jaguh kedai kopi jer la...(jangan marah wahai pakcik-pakcik sekalian).

Pemilik kedai kopi mesti suka kalau ramai yang lepak kat kedai mereka.Tapi kalau melepak berjam-jam dengan minum kopi secawan berbaloi ker?Nak tegur warga emas ni pun tak kena  juga sebab warga muda belia sekarang ni suka lepak kat cyber cafe dengan segala permainan internetnya.Kira sama-sama lepaklah tu.Hmmm camana yer?

Monday, February 14, 2011

Macam ni ker kerja kat Pejabat Tanah?

(foto hiasan:google)

Nampak tak tanah yang retak dalam foto di atas?Begitulah retaknya hati KM7 apabila berurusan dengan sebuah Pejabat Tanah pada hari ini.(Nama dan tempat dirahsiakan atas faktor tidak mahu menjatuhkan imej pejabat berkenaan).

Atas sebab kesibukan kerja,KM7 ke Pejabat Tanah berkenaan pada sebelah petang untuk satu urusan tanah.Dengan kata lain,KM7 ke sana hanya untuk mendapatkan geran tanah yang mana urusannya telah dibuat bulan 12 tahun lepas.

Masuk ke pejabat berkenaan nampaknya jumlah pelanggan taklah ramai sangat.Rupa-rupanya dah pakai sistem nombor.KM7 pun ambillah nombor.Masa tu petugas di kaunter pertanyaan tak ada...Beberapa minit kemudian,dia muncul maka KM7 tunjukkan resit utuk ambil geran tanah berserta nombor giliran.Tujuan KM7 adalah untuk memastikan betul atau tidak tindakan KM7 ambil nombor berkenaan dengan kaunter yang betul.

Petugas kaunter tu tanya "dah terima surat ke belum?" KM7 beritahu "belum...tapi masa selesaikan urusan dalam bulan 12 tahun lepas,pihak Pejabat Tanah kata dalam masa 2 minggu boleh siap...takkan dah masuk 2 bulan tahun 2011 pun tak siap-siap...surat pun  tak pernah terima".Kemudian petugas tu diam dan menjawab soalan orang lain....maka tercegatlah KM7 kat situ....

Puas berdiri KM7 duduk.Ada 5 nombor sebelum KM7..maka tunggulah hampir setengah jam...Masa menunggu tu ada adegan yang menyakitkan hati.Ada pelanggan yang baru masuk,tak ambil nombor pun terus ke kaunter dan berurusan dengan petugas di kaunter.Nampak macam mesra tegur sapa mereka.Mungkin dah kenal kot..Hmmm bukan seorang tau..beberapa orang.Adussss...patutla nombor KM7 ni lambat dipanggil.Kalau macam ni baik tak pakai nombor la...Masa tu rasa nak jer pergi ke kaunter minta penjelasan.Tapi memandangkan KM7 ke sana dengan pakaian biasa tanpa kemeja,tali leher dan kot...maka niat tu dipendamkan saja.

Tiba giliran dipanggil,ingatkan urusan selesai tapi salah kaunter pula.adoiiiii...Petugas tu beritahu KM7 hanya perlu ke kaunter berhampiran tempat kaunter pertanyaan tu saja,tak perlu ambil nombor.haaaa??? geramnya...Dipendekkan cerita,KM7 ke sana semula dan urusan selesai.KM7 telah dapat geran tanah tapi dalam hati rasa GERAM.Inilah masalahnya kalau berurusan dengan manusia.Baik berurusan dengan mesin jer senang.....

Ini bukan kali pertama KM7 berurusan di Pejabat Tanah berkenaan.Setiap kali ke sana ada jer rasa tak puas hati,terutamanya dengan beberapa orang petugas yang tak mesra pelanggan.Lebih geram ada sesetengah mereka yang tidak mengikut peraturan yang telah diwujudkan.Sepatutnya layanlah semua pelanggan dengan adil.Jangan pula kalau ada saudara mara atau kenalan rapat maka giliran pelanggan lain diketepikan.Inikah yang dinamakan profesional?

Kepada petugas-petugas di pejabat sedemikian,sedarlah pelanggan anda tak semua boleh diperkotak katikkan.Yang datang ke sana untuk urusan penting bukan untuk suka-suka.Setiap orang mengejar masa.Jangan pula disebabkan kemalasan kita urusan orang lain terganggu.

Sertai bloglist KM7


Apa khabar semua?
Kali ini KM7 bercadang
nak buka satu lagi bloglist...
bertajuk
Coretan Pengembara 3.

Jadi KM7 mengalu-alukan
mana-mana blogger
yang sudi untuk diletakkan 
link blog mereka dalam blog KM7 ni.
tak kira la blog anda tu
jenis apa..percutian ker,masakan ker,
hobi ker atau peribadi ker.

Syarat?
ada....mudah jer
anda perlu masukkan juga
link blog KM7 ni
dalam blog anda.
senang kan...!

OK apa tunggu lagi...
sila maklumkan dalam ruangan komen
url blog anda.
jom ler bersama-sama
memeriahkan lagi dunia blogging ni.
sekian....

Sunday, February 13, 2011

Alahai surat khabarku

(foto:Google)

Membaca Jambatan Ilmu.
Membaca juga amalan yang mulia.
Kebanyakan kita akan meperuntukkan
beberapa minit atau jam sehari
untuk membaca.

Kali ini KM7 ingin fokuskan
kepada pembacaan akhbar.
Biarpun kita boleh membaca akhbar
secara online dengan mudah dan percuma,
tetapi menatap akhbar yang boleh
dibelek-belek dengan tangan sendiri,
lebih puas rasanya.
Biarpun terpaksa mengeluarkan
beberapa ringgit atau terpaksa
menunggu giliran untuk membacanya
di perpustakaan,
itu tidak menjadi halangan kalau
kita memang suka membaca akhbar.

Persoalannya,
habiskah artikel atau berita dalam akhbar itu
kita baca pada hari itu?
KM7 sendiri tidak sempat untuk membaca
kesemua artikel terutamanya rencana
yang agak panjang.
Kadang-kadang rasa sedih juga sebab 
tak dapat membaca kesemua rencana yang 
bagus dan penuh informasi itu.
Kalau beli dan bawa balik akhbar itu ke rumah pun
belum tentu sempat dibaca.
keesokannya beli akhbar baru lagi...

Alangkah bagusnya kalau
ada syarikat akhbar kita yang membukukan
artikel atau rencana-rencana yang menarik itu,
kemudian dijual dengan harga berpatutan.
rasanya KM7 lah orang pertama 
yang akan membelinya.

Saturday, February 12, 2011

Rumah Negeri 9


Rumah siapa tu?
haa..kalau nak tahu
itulah rumah Negeri Sembilan.
Cantik kan
sejuk jer kat dalam rumah tu.
tengoklah atapnya tu...

Masa belajar dan praktikal
di Negeri Sembilan dulu,
pernah juga KM7 tinggal
kat rumah macam ni.

Sekarang ni
rasanya rumah-rumah
tradisional macam ni dah tak banyak.
Kalau adapun
mungkin di kampung-kampung
tertentu sahaja.

Kalau nak bina
rumah macam ni sekarang
rasanya memakan kos yang mahal.
betul tak?

Kepada yang masih ada
rumah tradisional,
eloklah dijaga dan jangan dirobohkan.
Itulah antara warisan budaya kita.


Friday, February 11, 2011

Datuk didakwa rogol cucu di kandang lembu

KOTA BHARU - Seorang datuk berusia 89 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan merogol cucunya berusia 10 tahun enam bulan.

Tertuduh yang hadir dengan memakai kain pelikat dan kopiah tidak mengaku bersalah atas tuduhan itu di hadapan Hakim Zainal L. Salleh.

Mengikut kertas pendakwaan, dia dituduh merogol mangsa di kandang lembu sebuah rumah tanpa nombor di Pasir Puteh pada pukul 9 malam 25 Ogos 2010.

Selepas mendengar pengakuan tertuduh, Hakim Zainal menasihatkannya mendapatkan khidmat peguam tetapi tertuduh mahu membela dirinya sendiri dengan alasan peguam memerlukan kos.

Zainal berkata: "Kes ini berat, bukan macam curi getah skrap. Kalau minta dibicarakan, kamu mesti menggunakan khidmat peguam sebab jika sabit kesalahan, bukan tiga tahun tetapi boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun."

Kosmo Online 11/2/2011

KM7: Apahal ni datuk....ishhh malunya...

Thursday, February 10, 2011

Arnabku tiada lagi



(semua foto di atas dipinjam dari google)

Cantik kan arnab!
KM7 suka tengok arnab ni.
Dulu ada juga bela arnab
tapi tak sempat nak jaga,
maka bagi kat orang jer
buat sate arnab...
ishh...tak sampai hati
tengok arnab-arnab yang kita bela tu
disembelih kan!

Arnab ni senang membiak
masa kecil memang cute 
apabila dah besar...hmmm makan banyak pula..
kalau bela dalam sangkar kat atas tanah
mulalah tanah tu digali buat lubang.
hmmm kalau bela dalam rumah camana yer...hehe..

ada sesiapa suka arnab juga?

Apabila lelaki gadai diri

KERUNTUHAN moral di kalangan remaja terutama remaja Islam memang telah lama berlaku. Akibat pengaruh budaya yang kini boleh dikecapi tanpa sempadan, golongan ini mencari nikmat hidup yang sementara ini dengan pelbagai bentuk rencah kehidupan yang songsang.

Mungkin anda pernah mendengar mengenai gadis pelayan pelanggan (GRO) yang melakukan kerja sebagai teman sosial kepada individu yang sanggup memberikan upah kepada mereka sebagai mata pencarian.
Turut banyak dipaparkan di media ialah mengenai GRO yang diberkas dan ditahan polis kerana melakukan gejala sosial yang merosakkan akhlak.

Tapi pernahkah pula anda mendengar mengenai lelaki pelayan pelangan.
Ia mungkin fenomena yang jarang diketengahkan dari golongan Adam iaitu remaja atau lelaki yang diupah untuk menjadi teman sosial kepada individu tertentu.

Jika bagi wanita kita menyebut pekerjaan yang dilakukan itu sebagai GRO, bagaimana pula kita hendak melabelkan pekerjaan yang sama untuk golongan lelaki ini.
Apakah panggilan yang sesuai untuk golongan ini? Adakah boleh kita rujuk sebagai lelaki pelayan pelanggan (LRO) mahupun jejaka pelayan pelanggan (JRO). Ataupun lebih kurang sama dengan tahap gigolo kerana mempunyai tugas dwifungsi melayan pelanggan wanita (lelaki simpanan) dan mungkin juga gay yang melakukan hubungan sejenis.

Apa pun panggilan untuk mereka, fungsi mereka adalah sama sebagaimana gadis-gadis pelayan pelanggan (GRO) yang mendapat upah untuk dijadikan teman bersosial, menghiburkan, mahupun dijadikan ‘teman’ tidur.

Sekiranya GRO hanya mungkin diperlukan oleh golongan lelaki yang mahu menjadikan mereka sebagai teman sosial, lebih parah lagi golongan LRO ini kerana dia boleh dibawa sebagai teman oleh kedua-dua golongan iaitu lelaki dan wanita.

Atas bantuan seorang sukarelawan Persatuan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida), satu pertemuan telah diaturkan untuk mengetahui sendiri bagaimana bentuk pekerjaan gelap ini.

Pertemuan penulis yang berlangsung secara senyap sambil ditemani jurugambar menjelang malam sehingga ke dinihari di sebuah bangunan lama di sekitar Jalan Tun Razak itu menyaksikan pelbagai kegiatan tawar-menawar langganan tubuh dilakukan pelbagai pihak.

Ada yang dilakukan secara terang-terangan namun ramai yang memilih secara bersembunyi dengan menggunakan bahasa-bahasa badan yang difahami oleh individu itu sahaja.
Tapi mata lebih tertumpu kepada LRO untuk mendapatkan maklumat yang dikehendaki. Selang beberapa jam, LRO ini berjaya diajak berbicara namun tidak banyak maklumat yang disampaikan.
Cerita mereka berbelit-belit dan tidak sekali-kali mengaku diri mereka adalah LRO sehingga akhirnya mereka sendiri terjerat dengan kata-kata.

Utusan Online: 10/2/2011

Tuesday, February 8, 2011

Betul ker Guru tidak terbeban kerja?

(gambar hiasan google)

Tadi KM7 terbaca satu artikel kiriman
seorang pembaca dalam akhbar Utusan Malaysia.
Tak lain tak bukan masih berkisar tentang tugasan guru.
tak habis-habis orang nak mempertikaikan
profesion perguruan.
Kali ini nampaknya guru sendiri yang mengaku
tak terbeban dengan kerja sebagai guru..
Baguslah tu...beruntungnya guru tersebut.
Tapi betul ker semua guru tak terbeban dengan
kerja-kerja sekolah yang semakin banyak?
ditambah dengan macam-macam risiko terutamanya
untuk aktiviti kokurikulum di luar sekolah?
Tidak adil rasanya kalau guru yang tidak terbeban itu
menyalahkan guru-guru lain yang memang menghadapi
tekanan dengan tugasan yang banyak dan semakin mencabar.
Ini disebabkan...
Lain tempat lain pula tekanannya.
Lain sekolah lain pula bebanannya.

jom baca pengakuan guru yang tidak terbeban itu.....

SAYA ingin memberi reaksi kepada pandangan saudara Norhisyam Mohamad dari Kuala Kedah di ruangan ini pada 3 Februari 2011 mengenai Jawatankuasa Khas mengkaji beban tugas guru.
Masyarakat Malaysia sering kali diperdengarkan dengan keluh-kesah warga guru yang mengatakan mereka banyak kerja, kerja sampai ke rumah, waktu cuti pun dipanggil bekerja dan seribu macam lagi. Namun tidak ada statistik sebenar yang menunjukkan bahawa warga guru ini adalah benar-benar dalam keadaan tertekan.
Saya telah berkhidmat sebagai guru mulai Disember 1992 sehingga kini. Saya berasa malu dan bersalah jika mengaku terbeban dengan kerja mendidik. Rasionalnya:
* Hampir setiap guru hanya akan diberikan tanggungjawab mengajar minimum dengan enam waktu seminggu dan maksimum 25 waktu seminggu. Secara purata ramai daripada di kalangan guru hanya diberi waktu mengajar 16 waktu seminggu. Satu waktu bersamaan 30 minit atau paling lama 40 minit. Secara purata kebanyakan sekolah rendah atau pun menengah menggunakan satu waktu bersamaan dengan 30 minit sahaja. Purata waktu mengajar guru ialah 16 waktu X 30 min= 480 minit atau lapan jam seminggu iaitu bersamaan satu hari bekerja penjawat awam yang lain.
* Tugas-tugas khas selain daripada kurikulum akan diberikan dengan agihan saksama. Berdasarkan pengalaman saya sebagai pengurusan sekolah, seorang guru akan diberikan satu tugas khas dan satu tugas kokurikulum. Misalnya, jika seorang guru diberikan tanggungjawab guru kelas atau tingkatan, ketua rumah sukan, ketua persatuan atau kelab dan jawatan berupa tanggungjawab ketua, maka guru tersebut tidak akan diberi tanggungjawab lain kecuali sekolah kekurangan guru.
* Tugas menanda buku kerja pelajar, menanda kertas ujian atau peperiksaan dan menyediakan kertas soalan adalah tugas hakiki guru.
* Guru-guru wajar mengetahui dengan jelas tugas hakiki mereka. Jika tidak mengetahui, sila rujuk kepada SPP [Panduan tugas hakiki Pegawai Perkhidmatan Pendidikan].Tolong rujuk Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Falsafah Pendidikan Guru, Visi, Misi dan Objektif Kementerian Pelajaran. Lihat juga Tonggak 12 dan semua jenis Perintah Am, Pekeliling Perkhidmatan dan panduan-panduan perkhidmatan guru yang lain.
Guru sebenarnya tidak terbeban dengan tugas hakiki yang ada kecuali mereka sendiri yang membebankan diri mereka. Alasan saya:
* Ramai guru yang terlibat dengan pelbagai aktiviti ekonomi seperti jualan langsung, insurans, jualan runcit (kain tudung, baju, kain pasang, tuisyen, kedai burger dan seribu macam lagi). Cuba rujuk laman sesawang seperti Facebook, kita akan jumpa kebanyakan penjawat awam termasuk guru menguar-uarkan produk jualan mereka dalam Facebook.
* Masa mengajar bukanlah berterusan. Pihak pengurusan sekolah tidak akan berlaku kejam. Setiap guru ada masa senggang. Misalnya, jika guru A telah mengajar tiga waktu sebelah pagi, maka pada waktu empat dan lima, lazimnya beliau akan rehat. Ada juga yang tidak mengajar seharian.
* Guru teknik, guru vokasional dan guru Kemahiran Hidup mempunyai masa mengajar yang lebih senggang. Ada di kalangan mereka yang mengajar tiga hari sahaja dan dua hari akan bercuti daripada mengajar. Purata mereka mengajar tidak lebih daripada 14 waktu seminggu kecuali guru yang mengajar Kemahiran Hidup. Ada yang sempat mengambil projek membuat pagar, membaiki kenderaan luar, mengecat kereta luar, membuat pendawaian rumah dan bermacam kerja lagi dalam waktu kerja.
* Ustaz-ustaz juga tidak ketinggalan menyampaikan ceramah berbayar di merata tempat tetapi tugas hakiki mendidik pelajar terabai. Kalau tidak masakan ada pelajar yang masih tidak mengenal huruf jawi dan tidak boleh membaca al-Quran.
* Guru-guru juga sibuk dengan kejohanan sukan diri sendiri, bukan untuk pelajar. Ada yang terlibat dengan kejohanan sehingga semingu lamanya, sedangkan ia hanya peringkat dalaman sahaja. Jika peringkat kebangsaan hanya setakat itu sahaja kerana tidak ada kejohanan sukan dunia untuk warga pendidik. Masalahnya anak murid yang terabai maka berlakulah guru tidak habis silibus.
Saya meminta mana-mana pihak, terutama golongan guru, agar memberi dan menunjukkan bukti imperikal bahawa mereka (lebih kurang 126,171 guru lelaki dan 279,545 guru perempuan) adalah dalam keadaan tertekan. Tunjukkan juga berapa ramai guru yang dirujuk kepada Lembaga Perubatan kerana masalah mental disebabkan ‘Beban Tugas’.
Saya menyeru semua warga pendidik iaitu guru, Pensyarah Guru, Pensyarah IPTA & IPTS agar menilai diri dan memahami fungsi kita sebagai pendidik. Jika kita tidak boleh, maka ada pekeliling yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk kita melepaskan jawatan kita dan carilah kerja yang sesuai dengan kita.
Mokhtar Sabah
Keningau, Sabah.

sumber:Utusan Online 8/2/2011


Monday, February 7, 2011

Cikgu dan kapurnya


Dari dulu hingga kini
kapur memang sinonim dengan sekolah.

Masa KM7 bersekolah rendah dulu
cikgu-cikgu suka guna kapur
yang berwarna-warni semasa menulis
kat papan hitam atau papan hijau.
hmmm nampak cantik kan.

Kapur juga kadang-kadang tu
menjadi senjata paling berkesan
untuk mengejutkan  pelajar yang tertidur dalam kelas.
Lebih hebat lagi kalau ada pemadam papan hitam
yang melayang dalam kelas..aduss..

Tentu anda masih ingat
tatkala guru tiada dalam kelas.
Masa itulah ada rakan-rakan kita
yang menunjukkan kekreatifan mereka
dengan menconteng papan hitam
menggunakan kapur....
pendek kata  macam-macam perkara dilukis mereka,
termasuklah wajah guru kesayangan mereka.huhu...

Hari inipun masih ada sekolah 
yang menggunakan
kapur dalam kelas.
Biarpun habuk kapur itu mengganggu kesihatan cikgu,
tapi itulah kenyataannya,
cikgu dan kapur tak dapat dipisahkan.
Terima kasih cikgu!

BE ku sudah lari


Sudah lebih sebulan 2011 meninggalkan kita.
Sehingga kini KM7 belum dapat sebarang BE
untuk tahun ini.huhu...kesiannya....

Kalau tahun lepas KM7 dapat BE
paling banyak 6 dalam satu-satu masa.
Masa tu rasa seronok dan bertambah rajin
untuk berblog.

Maklumlah masa tu jumlah pengunjung
blog KM7 yang tak seberapa ni 
adalah dalam 200 orang sehari.
tapi sekarang...dalam lingkungan
30 hingga 40 orang jer sehari.

Kesibukan kerja ditambah broadband yang
tak putus-putus dengan kelembapannya,
mana mungkin untuk BW selalu......

Tak apalah,
terima kasih kepada anda 
yang sentiasa berkunjung ke blog KM7 ni.
Kunjungan anda amat dihargai.

Sunday, February 6, 2011

Jatuh cinta lagi?

Seronok kan kalau cinta berbalas.
Masa tu rasa macam berjalan 
tak berpijak di bumi nyata.
Bagi yang pertama kali jatuh cinta
tentu segalanya indah.

Cinta remaja tak sama denga cinta dewasa.
Sebab itulah zaman remaja
sering dikaitkan denga cinta monyet.
Maklum sajalah remaja
mudah sangat jatuh cinta.

Tapi apa kes kalau ada juga 
dalam kalangan dewasa
yang sering jatuh cinta?
bagi yang bujang tak apalah kan.
tapi bagi yang sudah berpunya...awas.....
itu tandanya anda mata keranjang.
hehe...betul ker?

Saturday, February 5, 2011

Kipasku berhabuk lagi


Cuba tengok kipas sebelah anda tu,
ataupun kat siling anda tu.
haa...ada habuk tak?
Tak kisahlah kan
kipas meja atau kipas siling.
Mesti ada kat rumah kita kan...

Soalnya..
Bila kali terakhir
anda membersihkannya?
hehe...KM7 baru lepas
bersihkan kipas-kipas tu.
hmmm baru jer bersihkan dulu,
sekarang dah berhabuk balik.





Kipas berhabuk ni
tak bagus untuk kesihatan kan!
jadi luangkan sedikit masa
untuk membersihkannya.
Selamat membersihkan kipas masing-masing

Harga minyak bakal melambung

KUALA LUMPUR – Krisis politik di Mesir jika dibiarkan berpanjangan dibimbangi mengakibatkan harga minyak dunia terus melambung sekali gus akan turut memberi kesan buruk kepada ekonomi negara.

Pakar ekonomi, Datuk Mohd. Salleh Majid (gambar) berkata, krisis tersebut yang sudah pun berlarutan lebih seminggu telah mengakibatkan kenaikan harga bahan bakar dunia kepada kira-kira RM310 setong ketika ini.

Menurutnya, keadaan itu berlaku apabila aktiviti ekonomi menerusi Terusan Suez, Mesir yang merupakan laluan tunggal perdagangan yang menghubungkan Eropah dan Asia sudah mula terganggu.

“Jika terusan itu terganggu, ia sudah pasti menimbulkan masalah paling besar iaitu harga minyak dunia terus meningkat termasuk di negara kita,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kosmo Online 5/2/2011

KM7: Nampaknya kalau harga minyak dunia terus melambung,tidak mustahil di negara kita pun harga minyak terpaksa dinaikkan.Maka bermulalah episod kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.Pada masa itu akan terasa bebanan terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah mahupun yang tidak berpendapatan.

Friday, February 4, 2011

Lelaki minta bantuan polis elak isteri kuat seks

BERLIN: Bosan kerana sering diminta memuaskan nafsu isteri, seorang lelaki terdesak meminta tolong kepada polis supaya melindunginya daripada wanita terbabit, kata pegawai keselamatan semalam.

Jurucakap polis berkata, lelaki keturunan Turki - tetapi bermastautin di Jerman - itu pergi ke sebuah balai polis di barat daya Jerman pada Selasa untuk mengadu masalahnya.

Kata jurucakap itu, lelaki terbabit bosan kerana terpaksa tidur di sofa rumah mereka sejak empat tahun lalu bagi menghindari isterinya.


“Semuanya gara-gara si isteri yang selalu menuntut mengadakan hubungan seks,” katanya.

Hasil perkahwinan mereka sejak 18 tahun lalu, pasangan itu dikurniakan dua anak.


Kata jurucakap polis, lelaki itu nekad mahu bercerai dan keluar dari rumahnya dengan harapan dapat hidup lebih aman.



“Lelaki terbabit meminta polis melindunginya untuk sementara kerana dia perlukan tidur yang cukup,” katanya. - AFP

mymetro 4/2/2011

Thursday, February 3, 2011

Lelaki dijel 80 tahun, 40 sebatan kerana merogol

KUALA LUMPUR - Seorang bapa bukan sahaja tergamak merogol darah daging sendiri tetapi lebih keji lagi apabila ia dilakukan di hadapan isterinya yang juga ibu remaja berkenaan sehingga menimbulkan trauma kepada kedua-dua wanita malang tersebut.

Perlakuan buas lelaki kepada sembilan anak itu bagaimanapun dibalas dengan hukuman penjara 80 tahun dan 40 kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas peniaga gerai makan itu mengaku salah merogol anak kelimanya sebanyak empat kali, tahun lalu.

Hakim Mohamad Sekeri Mamat memutuskan tertuduh berusia 47 tahun itu dipenjara 20 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan dengan kesemuanya diarah berjalan secara berturut-turut mulai tarikh ditangkap pada 27 Januari lalu.

Tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 15 tahun itu pada pukul 2 petang, 23 Januari lalu serta tiga lagi tuduhan serupa pada bulan November dan Disember tahun lalu di rumah mereka.

Kosmo Online 3/2/2011

Wednesday, February 2, 2011

Pasangan paling pelik di dunia


PRAGUE - Sepasang kekasih di Republik Czech layak digelar pasangan paling pelik di dunia kerana mereka jatuh cinta selepas kedua-duanya menjalani pembedahan menukar jantina.

Dominik Sejda, 45, atau nama asalnya Ilona Tomeckova, dilahirkan sebagai wanita pernah menjalani pembedahan menukar jantina untuk menjadi lelaki dan dia kini hidup bersama dengan seorang lelaki yang telah menukar jantina menjadi perempuan, Andrea Kajzarova, 32.

Sejda memainkan peranan sebagai lelaki manakala Andrea merupakan wanita dalam hubungan tersebut.
Mereka yang bekerja sebagai pembantu ambulans di dua hospital di sini, berkenalan dalam satu laman web pondan.

Lebih aneh, Sejda pernah melahirkan seorang anak lelaki 25 tahun dahulu, Radim, yang juga telah menjalani pembedahan untuk menukar jantinanya menjadi wanita. - Agensi

Kosmo Online 2/2/2011

Tuesday, February 1, 2011

Kerajaan timbang guna kapal TLDM pindah pelajar di Mesir

LABIS: Kerajaan sedang menimbang menggunakan kapal serbaguna Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sedang bertugas di Teluk Aden, Timur Tengah untuk operasi pemindahan pelajar-pelajar Malaysia yang kini berada di Mesir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kapal terbabit akan digunakan untuk memindahkan pelajar Malaysia di Mesir ke Jeddah, Arab Saudi, bagi membolehkan mereka menaiki penerbangan pulang ke Malaysia.

"Kita mempunyai pelan untuk menggunakan aset Angkatan Tentera Malaysia termasuk kapal TLDM yang sedang meronda di Teluk Aden, untuk membawa mereka keluar daripada Mesir," katanya pada sidang akhbar selepas melawat mangsa banjir di Dewan Kampung Ayer Panas di sini, hari ini.

Najib berkata demikian ketika ditanya mengenai kebimbangan keluarga pelajar dan rakyat Malaysia yang kini berada di Mesir, berikutan keadaan yang semakin meruncing di negara Timur Tengah itu berikutan demonstrasi yang diadakan oleh rakyatnya bagi mendesak Presiden Hosni Mubarak berundur.

Kapal serbaguna TLDM terbabit, KD Bunga Mas kini terbabit di dalam operasi anti-lanun di Teluk Aden. - BERNAMA
Berita Harian Online 1/2/2011