expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Friday, July 3, 2020

5 Tips Menimbulkan Minat dalam Pelajaran, Pekerjaan mahupun Kehidupan Seharian


Setiap orang ada minat masing-masing. Tak kiralah minat dalam pelajaran, pekerjaan, permainan dan sebagainya. Kalau sudah ada minat terhadap sesuatu perkara, maka kita akan melakukannya dengan penuh bersemangat, tidak menghiraukan penat, halangan dan masalah. Bukan senang untuk menimbulkan minat. Mari kita perhatikan beberapa tips untuk menimbulkan minat terhadap sesuatu perkara.


1. Keinginan diri sendiri. 
Paling penting, kita mestilah ingin melakukannya. Kalau diri sendiri tidak mahu, maka minat tidak akan datang. Pelajar yang ada keinginan untuk berjaya dalam peperiksaan akan berusaha sedaya upaya untuk cemerlang. Berbeza dengan pelajar yang dipaksa belajar, akan berasa terpaksa, letih dan tidak bersemangat.

2. Galakan dan sokongan ibu bapa
Anak-anak akan berminat untuk melakukan sesuatu apabila mendapat galakan ibu bapa. Galakan dan sokongan berterusan akan menambah keyakinan diri anak-anak meneruskan minat mereka. Sokongan mungkin dalam bentuk kewangan, nasihat mahupun meluangkan masa. Misalnya anak yang meminati bidang sukan akan bermotivasi menghadiri sesi latihan apabila dihantar oleh ibu bapa. Kelengkapan sukan yang disediakan oleh ibu bapa untuk kemudahan anak juga menjadi pendorong anak untuk meneruskan minat mereka.

3. Jangan takut pada kegagalan. 
Ada yang belum memulakan minat tapi sudah takut akan berhadapan kegagalan. Misalnya seseorang yang mula meminati untuk berkebun telah berfikir pokok-pokok yang ditanam nanti tidak subur, diserang serangga atau mungkin mati. Sepatutnya dia teruskan dulu minat berkebun, kalau gagal anggap saja sebagai cabaran dan berani untuk menanam semula.

4. Pedulikan kata orang.
Minat kita belum tentu orang lain suka. Contohnya memancing, ada saja orang mengatakan minat itu membuang masa. Jadi jiwa mesti kental menerima teguran atau kejian orang yang tidak suka kepada minat kita. Buktikan kepada mereka minat kita itu menguntungkan. 

5. Belajar dan meniru minat orang lain.
Kalau kita belum ada minat terhadap sesuatu perkara, boleh saja mencuba dengan meniru minat orang lain. Kalau sesuai dengan diri sendiri, boleh saja diteruskan. Jangan sampai tidak minat untuk membuat apa-apa. Ini pastinya membosankan. Berkawan dengan mereka yang mempunyai minat yang sama akan memastikan minat itu berterusan, bukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam.

Demikian pendapat peribadi saya tentang tips untuk menimbulkan minat untuk melakukan sesuatu perkara. Ada banyak lagi cara yang mungkin tidak tercatat di sini. Minat seseorang jangan dihalang selagi ia tidak bertentangan dengan agama mahupun undang-undang, biarkan saja. Cuma pastikan juga minat kita jangan sampai mengabaikan keluarga, anak-anak mahupun masyarakat setempat. 


No comments: