expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Monday, April 11, 2016

Pelbagai Kaedah Pengkebumian Mayat


Setiap yang hidup pasti akan mati apabila tiba waktunya. Pelbagai cara dilakukan dalam konteks pengkebumian mengikut agama, budaya dan adat sesuatu bangsa itu. Di sini saya akan kongsikan beberapa cara pengkebumian khususnya dalam masyarakat di negara kita pada masa dahulu. 

Gambar di atas ialah pengkebumian keranda kayu balak di Sabah. Gua-gua digunakan sebagai tempat pengkebumian keranda kayu balak ini. Keranda ini mempunyai ukiran yang cantik dan unik seperti ukiran kepala seladang, buaya, ular, cicak, burung dan sebagainya terutama di bahagian penutup keranda. Saiz ukuran keranda dewasa di antara 7 hingga 12 kaki manakala bagi kanak-kanak di antara 4 hingga 6 kaki. Pengkebumian ini biasanya disertakan dengan barang-barang  kiriman keperluan harian seperti alat-alat senjata, makanan dan perhiasan.




Pengkebumian Kubur batu Kepingan. Kubur batu kepingan merupakan amalan masyarakat pesisir pantai di Lembah Bernam, Perak terutama di Sungkai, Changkat Mentri dan Slim River. Kepingan batu-batu granit disusun bertindih menyerupai kubur di mana bahagian kepalanya lebih lebar dari bahagian kaki. Bahan-bahan perhiasan kubur  yang ditanam bersama dalam kubur ini ialah periuk tembikar, manik-manik kaca, batu serta alat-alat besi. Amalan budaya kubur batu kepingan dipercayai bermula pada zaman logam kira-kira 300 sebelum Masihi, berterusan ke zaman protosejarah dan tamat sebelum 1400 Masihi.




Pengkebumian Dongson. Gendang Dongson atau gendang gangsa dijumpai tertanam berpasangan di Kuala Terengganu, Ulu Tembeling, Kelang dan Banting. Satu pengkebumian simbolik untuk ahli masyarakat yang mempunyai kedudukan sosial yang tinggi. Gendang Dongson ditanam dengan permukaannya diletakkan di atas kayu cengal yang dipercayai adalah serpihan dari perahu jalur yang berukuran 2 meter panjang. Keseluruhan gendang tadi ditutupi dengan tanah berbentuk seperti busut berukuran 5 meter panjang dan 1 meter pada paras paling tinggi.




Pengkebumian Tempayan. Adat ini diamalkan oleh masyarakat di di Sabah, Sarawak dan Terengganu. Terdapat kesan-kesan damar yang digunakan untuk membakar mayat pada tulang yang disimpan di dalam tempayan. Terdapat juga kaedah di mana beberapa individu dimasukkan ke dalam satu tempayan, mayat dibiarkan reput di tempat yang selamat. Kemudian tulang dan tengkorak diambil dan disusun di dalam tempayan untuk dikebumikan dengan meletakkannya di atas lantai gua-gua batu kapur.

Begitu unik cara pengkebumian masyarakat tertentu di negara kita. Kaedah ini mungkin sudah tidak diamalkan lagi sekarang seiring dengan peredaran masa. Apa pun caranya, ia tentulah sebagai penghormatan terakhir ahli keluarga kepada si mati sebagai lambang kasih-sayang.



No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi singgah dan meninggalkan komen di blog KM7. Sila tinggalkan link blog anda untuk tukar link bloglist. Terima kasih, sila datang lagi.