expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Wednesday, June 30, 2021

Antara tindakan mengibarkan bendera putih dengan bantuan yang dihulurkan


Pandemik Covid-19 belum berakhir. Kesannya bukan sahaja kepada aspek kesihatan malah turut merangkumi ekonomi sehinggalah cara hidup masyarakat. Saya tertarik dengan satu kempen mengibarkan bendera putih. Ia sebagai satu usaha untuk membantu mereka yang sangat terkesan khususnya aspek ekonomi keluarga.

Banyak juga usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan dalam soal membantu rakyat, khususnya golongan yang terkesan dengan apa yang berlaku sekarang. Segala bentuk bantuan cuba disalurkan kepada golongan sasar untuk memastikan kelangsungan hidup mereka. Persoalannya, sampai bila bantuan ini boleh bertahan?.  

Pelbagai pihak lain seperti swasta, NGO, badan kebajikan, malah orang perseorangan turut tampil untuk sama-sama membantu. Inilah yang dikatakan berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Sungguh bertuah kita hidup di bumi Malaysia yang aman dan masyarakat yang saling membantu antara satu sama lain. 

Kempen mengibarkan bendera putih sebagai simbolik memohon bantuan kecemasan ini wajar diberikan pujian. Ia satu langkah bagi golongan yang memerlukan bantuan untuk menyuarakan permintaan mereka. Juga satu cara memudahkan mereka yang ingin menghulurkan bantuan mendekati golongan sasar. Cuma diharapkan tidak ada yang cuba mengambil kesempatan seperti peribahasa menangguk di air yang keruh. 

Bagaimanapun, setiap kebaikan yang dilakukan itu mungkin ada pihak yang tidak bersetuju dengan kaedah pelaksanaannya. Tidak menjadi satu masalah sekiranya tidak bersetuju, asalkan mereka ada alternatif lain boleh memberikan implikasi positif kepada mereka yang memerlukan bantuan. Apa yang menjadi masalahnya ialah jika ada yang hanya menunjukkan keprihatinan melalui lontaran pendapat semata-mata bukan melalui tindakan.

Tidak perlu saling menyalahkan dalam tempoh masa yang kritikal ini. Alangkah bagusnya jika dapat sama-sama membantu meringankan beban mengikut kemampuan masing-masing. Jika ada kemampuan yang lebih maka banyaklah sumbangan yang dapat disalurkan. Andai kita sendiripun hidup ala kadar, maka sekadarnya sahaja bantuan boleh dihulurkan asalkan ikhlas. Hari ini kita menolong orang lain mungkin esok lusa giliran kita pula dibantu.

Semoga kita dapat membantu sesama kita. Kalau bukan kita, siapa lagi yang hendak diharapkan. Semua menaruh harapan agar pandemik ini akan segera berakhir dan kita semua boleh mengulangi kehidupan yang pernah dinikmati sebelum ini.

Semoga bermanfaat. Untuk mendapatkan notification update blog Kembaraminda7 melalui channel Telegram sila KLIK DI SINI. Terima kasih.




5 comments:

Terima kasih kerana sudi singgah dan meninggalkan komen di blog KM7. Sila tinggalkan link blog anda untuk tukar link bloglist. Terima kasih, sila datang lagi.