expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Wednesday, June 16, 2010

IPT diminta sekat JI sebar ideologi militan dalam kalangan pelajar

GERAKAN Jemaah Islamiah (JI) yang dikesan cuba mengaktifkan kegiatan militan mereka dengan mengambil ahli baru di kalangan golongan muda, adalah berita yang mencemaskan. Tambahan pula apabila mereka dikesan merekrut pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan remaja tempatan bagi menyertai kumpulan berkenaan.

Pendedahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berhubung perkembangan terkini kumpulan JI itu jelas menunjukkan JI tidak pernah berusaha ‘mematikan’ gerakan mereka, walaupun menghadapi pelbagai tindakan oleh pasukan keselamatan negara untuk menghapuskan kegiatan kumpulan yang berbahaya itu. Nyata, JI tidak serik untuk membuat onar.

Walaupun difahamkan JI sudah merekrut sekurang-kurangnya 30 pelajar IPT, kita bimbang jumlahnya mungkin lebih ramai daripada itu. Anggota baru JI di kalangan pelajar ini mampu bertindak sebagai ejen kumpulan itu dengan mempengaruhi lebih ramai penuntut di IPT. Pihak polis perlu segera menghalang kegiatan ini daripada terus merebak di IPT. Jika pelajar ini diresapi dengan fahaman dan ideologi militan, mereka bukan saja mengabaikan pelajaran, malah lebih buruk lagi boleh mengancam keselamatan negara.

Selain pihak keselamatan, pengurusan IPT sendiri wajar membantu mengesan kegiatan kumpulan ini di universiti dan kolej masing-masing. Pihak pengurusan khususnya di IPT yang mempunyai ramai penuntut dari luar negara perlu memantau kegiatan pelajar terutama membabitkan siri ceramah berbaur ekstremis dan radikal, sama ada dianjur di dalam atau luar kampus. Kegiatan kumpulan ini tidak boleh dipandang ringan mana-mana pihak kerana ia jelas boleh mengancam keselamatan, keamanan dan keharmonian negara.

Kita tentu tidak mahu muncul seorang lagi rakyat tempatan seperti Noordin Mohamad Top yang ditembak mati di Solo, Jawa Tengah, Indonesia, akhir tahun lalu. Noordin, 41, yang mengetuai kumpulan serpihan radikal JI dikenali ‘Tandzim Al-Qoidah Indonesia’ terbunuh dalam satu operasi pihak berkuasa negara itu. JI asalnya kumpulan pejuang agama yang bercita-cita mendirikan sebuah Negara Islam Raya di Nusantara, khususnya Indonesia, Singapura, Brunei, Malaysia, Thailand dan Filipina.

Terdapat asas kewujudan hubungan kewangan antara JI dengan kumpulan pengganas antarabangsa lain, seperti Abu Sayyaf dan al-Qaeda. Strategi mereka ialah melalui kekerasan dengan mensasarkan kepentingan Barat yang terdapat di rantau ini. JI turut disyaki terbabit dalam pengeboman Bali pada 12 Oktober 2002 yang mengorbankan 202 nyawa di beberapa kelab malam di pulau peranginan itu.

Apapun pelajar IPT dan remaja kita perlu berhati-hati terhadap kegiatan ini dan tidak mudah terpengaruh dengan dakyah dan propaganda kumpulan ini yang barangkali menjanjikan ‘syurga’ atas ganjaran perjuangan mereka. Perjuangan menggunakan keganasan tidak akan membawa sebarang kebaikan selain kemusnahan dan ancaman tidak berkesudahan. Mahukah kita hidup dalam kebimbangan yang berkemungkinan kita diserang pada bila-bila masa. Setiap pelajar wajar menggunakan kesempatan di IPT untuk menimba ilmu yang bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara.

Berita Harian 16 Jun 2010

No comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi singgah dan meninggalkan komen di blog KM7. Sila tinggalkan link blog anda untuk tukar link bloglist. Terima kasih, sila datang lagi.