Thursday, November 12, 2015

Jom berbuat Kebaikan


Berbuat baik berpada-pada, berbuat jahat jangan sekali. Kita digalakkan untuk melakukan kebaikan sesama makhluk, dan tidak sekali-kali cuba membuat kejahatan. Biarpun begitu saranannya, tidak semua orang mengambil pengajarannya kerana di sana-sini kejahatan semakin berleluasa seiring dengan kepesatan pembangunan negara.

Bercakap soal membuat kebaikan, ramai yang suka bertangguh untuk melaksanakannya. Padahal ternyata banyak manfaat apabila kita berbuat baik sama ada kepada diri kita mahupun orang yang ditolong itu. Tidak dinafikan persepsi bahawa apabila kita berbuat baik kepada orang lain, belum tentu orang akan berbuat baik kepada kita. Ini seolah-olah membuat sesuatu itu mengharapkan balasan. Memang betul, dunia hari ini kita kena berwaspada menolong orang kerana bimbang kebaikan kita tadi disalahguna atau diambil kesempatan.

Apapun, kalau berkesempatan berbuat kebaikan, janganlah bertangguh. Belum tentu esok kita sihat, kaya mahupun ada tenaga seperti hari ini. Lebih menyesal lagi, kalau hari ini adalah hari terakhir hidup kita di dunia ini. Mana mungkin kita boleh membantu orang lain lagi!

Janji Allah kepada hambanya,

Sesiapa berbuat kebaikan mendapat sepuluh kali ganda amalannya. Dan sesiapa berbuat kejahatan dibalas seimbang dengan kejahatannya. Mereka sedikit pun tidak dirugikan (dizalimi).

(Al-An'am 6:160)


Sering terjadi dalam kalangan orang kita, apabila ditimpa musibah barulah berazam untuk berubah. Tengok saja apabila diuji dengan sedikit kesakitan, makan pun tak lalu. Apa guna banyak harta atau kemewahan kalau tengok atau sebut pasal makanan, tiada selera langsung. Masa inilah berazam untuk berubah, berjanji untuk membuat banyak kebaikan. Malangnya apabila sihat, terlupa pula keazaman semasa sakit.

Justeru, dalam kesempatan yang ada ini, marilah kita sama-sama berlumba-lumba melakukan kebaikan. Biarpun sedikit, tapi mengikut kemampuan kita lebih baik daripada tidak berbuat langsung. Tengoklah berapa ramai ahli keluarga, rakan mahupun kenalan kita yang telah 'pergi' buat selamanya. Mereka telah meninggalkan segala kemewahan dan kesenangan dunia. Hanya amalan semasa hayat yang dibawa bersama. Kita yang masih diberi kesempatan untuk hidup ini lakukanlah kebaikan kerana esok belum tentu milik kita!




No comments: