Saturday, November 14, 2015

Kejadian Tanah Runtuh: Salah Siapa?



Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Kilometer 52.4 Lebuh Raya Kuala Lumpur - Karak berhampiran Lentang memberi peringatan kepada semua perihal pentingnya mengambil kira isu alam sekitar. Ketika sibuk dengan urusan pembangunan dan kemajuan negara, alam sekitar tidak boleh dipandang mudah.


Setiap kali berlaku kejadian tanah runtuh dan sebagainya, pelbagai teori dan spekulasi berlegar di dalam pelbagai media. Masing-masing menyalahkan pihak lain seolah-olah tidak ada kesedaran dalam diri sendiri bahawa menjaga alam sekitar itu adalah tanggungjawab kita bersama!

Kejadian gelongsoran tanah yang membawa kepada tanah runtuh ini sememangnya berpunca daripada aktiviti penerokaan hutan. Apabila pokok-pokok ditebang secara tidak terkawal, kawasan yang gondol tadi tidak dapat menampung air akibat hujan lebat.

Pokok balak di hutan-hutan berfungsi melambatkan jatuhan air hujan ke bumi. Akarnya yang mencengkam ke dasar bumi dapat menghalang pergerakan tanah. Justeru kewujudan pokok-pokok ini terutamanya di cerun-cerun bukit sangat penting untuk mengelakkan kejadian banjir lumpur sewaktu hujan lebat.Tengok betapa pentingnya peranan hutan dalam mengawal gelongsoran tanah yang membawa kepada banjir lumpur dan tanah runtuh.

Justeru, semaikan rasa cinta kepada alam sekitar kepada semua pihak. Usah terlalu mengejar keuntungan sehingga mengabaikan khazanah alam yang amat berharga ini. Ingatlah bukan kita sahaja mahu merasai nikmat hidup di bumi yang bertuah ini. Fikirkan juga tentang masa depan anak cucu kita nanti. Jangan sampai mereka menyalahkan kita yang rakus menodai alam untuk kepentingan diri sendiri!

"Telah tampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah menjadikan mereka merasakan sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali ( ke jalan yang benar)." 
(Ar-Rum: 41)



No comments: