expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Friday, November 13, 2015

Amalan Membaca: Apa Peranan Ibu bapa?



Membaca bukanlah asing bagi kita semua. Sejak kecil lagi kita diajar supaya pandai membaca. Sungguh seronok apabila pandai membaca, dari buku cerita sehinggalah menelaah pelbagai buku untuk menghadapi peperiksaan. Tapi kenapa kebolehan membaca ini tidak  dijadikan sebagai hobi sebilangan besar remaja? Saya berani mengatakan kebanyakan remaja dan belia hari ini tidak gemar membaca buku terutamanya buku bercorak ilmiah. Mereka lebih suka menghabiskan sebahagian besar masa lapang  dengan gajet.


Ibu bapa sebagai orang terdekat dengan anak-anak wajar menunjukkan teladan membaca di hadapan anak-anak. Berapa ramai dalam kalangan kita yang membaca buku, majalah mahupun surat khabar di hadapan anak-anak? Ibu bapa pun sibuk juga dengan gajet masing-masing. Alangkah bagusnya kalau sama-sama membaca kemudian ceritakan kepada keluarga perkara yang dibaca.

Sekarang terdapat banyak pameran buku yang diadakan secara besar-besaran. Ibu bapa bolehlah meluangkan masa membawa anak-anak ke sana. Biarkan mereka memilih bahan bacaan yang digemari. Asalkan kita mampu bayar dan bahan bacaan tadi sesuai, beli sajalah. Jangan berkira sangat pasal harga buku. Kalau mainan beratus ringgit boleh dibeli, takkan buku bernilai puluhan ringgit pun nak berkira!

Apa kata kalau sesekali ibu bapa hadiahkan buku kepada anak-anak semasa sambutan hari lahir mereka. Tentu anak-anak suka kalau buku berkenaan sesuai dengan mereka. Tapi saya rasa budak-budak sekarang lagi suka kalau ibu bapa hadiahkan mereka dengan telefon bimbit. Itulah cabarannya untuk menggalakkan minat membaca dalam kalangan anak-anak.

Ada dalam kalangan ibu bapa yang berkemampuan menyediakan perpustakaan mini di rumah. Ini satu langkah yang patut dipuji. Bagaimanapun,  ibu bapa seharusnya memantau penggunaan perpustakaan mini di rumah supaya buku-buku di rak tidak sekadar menjadi perhiasan.

Oh ya, dulu-dulu ada juga lagu sebagai kempen membaca. Anda boleh saksikan dalam youtube. Liriknya begini...


Banyak peranan yang boleh dimainkan oleh ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak membaca. Marilah kita sama-sama menyemai minat membaca dalam kalangan generasi muda. Jangan rasa malu untuk membaca di khalayak ramai. Contohi masyarakat barat yang menjadikan membaca sebagai hobi walau di mana mereka berada. Bangsa Membaca Bangsa Berjaya!



1 comment:

  1. zaman sekarang ni, dengan adanya smartphone, pc, laptop and etc, generasi membaca makin kurang. Saya pun sekarang dah kurang membaca... aduiiii....

    ReplyDelete

Terima kasih kerana sudi singgah dan meninggalkan komen di blog KM7. Sila tinggalkan link blog anda untuk tukar link bloglist. Terima kasih, sila datang lagi.